Oktoberfest provokasi, uji kesabaran orang Islam


(Sinar Harian) – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendakwa penganjuran Oktoberfest satu bentuk provokasi menguji kesabaran orang Islam di negara ini.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, terdapat pihak yang menyokong penganjuran itu dengan alasan ia untuk orang bukan Islam, tetapi apabila perkara berkaitan amalan dan tuntutan syariat orang Islam seperti Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 ditentang habis-habisan.

“Riuh rendah mereka melakukan berbagai penentangan yang tidak berkesudahan.

“Penganjur Oktoberfest dan pihak yang menyokong berkata ia hanya untuk orang bukan Islam dan kenapa orang Islam sibuk cuba menghalang. Jelas sikap hipokrit dan dwi standard mereka ini bertujuan untuk menguji kesabaran dan mencabar kesucian agama Islam dalam negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan adakah Oktoberfest ini sebahagian daripada Reformasi Malaysia Baharu.

“Di manakah letaknya Islam sebagai agama Persekutuan. Memang amalan agama lain dibenarkan dan dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, namun moralnya, tidak wajar dibenarkan atau digalakkan aktiviti seumpama ini.

“Di Barat sendiri, ada negara yang telahpun menghalang penganjuran kerana membawa kesan buruk berlaku akibat mabuk ketika pesta,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini pelbagai polemik berlaku kerana banyak program yang bertentangan dengan peruntukan agama Islam dianjurkan.

“Jika berterusan, maka tidak ada apa-apa makna lagi Islam sebagai agama Persekutuan dan dayus majoriti rakyat Malaysia beragama Islam.

“Mungkin ada segelintir orang Islam yang maha liberal turut menyokong tapi berapa jumlahnya yang bersetuju dengan perkara ini.

Justeru beliau berharap, Majlis Raja-Raja Melayu memainkan peranan mencegah aktiviti tersebut.

“Oktoberfest ini juga mencabar kedaulatan raja-raja Melayu yang bertindak sebagai ketua bagi agama Islam,” katannya.



Comments
Loading...