Muhyiddin bubar BERSATU Negeri Sembilan


(Mkini) – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan BERSATU Negeri Sembilan dan dua bahagian di Selangor iaitu Ampang dan Subang dibubarkan kerana mempunyai banyak masalah.

“Kita guna pakai keputusan bubar BERSATU yang telah tertubuh awal untuk Negeri Sembilan kerana kita ada banyak masalah.

“Jadi (jabatan pendaftar pertubuhan) ROS bagi nasihat untuk bubar dan lantik semula pimpinan di peringkat negeri,” kata Muhyiddin selaku presiden parti itu pada sidang media di Ibu Pejabat BERSATU, hari ini.

Muhyiddin yang juga adalah menteri dalam negeri yang bertanggungjawab terhadap jabatan pendaftar pertubuhan berkata, Tan Sri Rais Yatim akan mengetuai penubuhan baru BERSATU di Negeri Sembilan.

Ketika ditanya apa masalah yang dihadapi BERSATU kawasan itu, Muhyiddin berkata: “Kita ada banyak masalah sejak awal kita lantik bahagian, mereka buat banyak perkara pertentangan dengan perlembagaan parti, mereka buat laporan polis, sidang media yang nak jatuhkan parti, saya tak pasti sama ada mereka masih ingat lagi.

“Jadi saya tak nak ulas panjang tapi sebab Majlis Tertinggi dah buat keputusan hari ini, seluruh (bahagiandi) Negeri Sembilan (dibubarkan),” katanya.

Rais dilantik sebagai ketua badan pimpinan BERSATU Negeri Sembilan dan diberi tanggungjawab untuk merombak dan menstruktur semula badan kepemimpinan parti itu pada peringkat akar umbi pada Selasa minggu lalu.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith, yang juga timbalan menteri komunikasi dan multimedia, pula dilantik sebagai timbalannya.

Menurut Muhyiddin, mesyuarat hari ini turut memutuskan ahli BERSATU Negeri Sembilan Datuk Nasarudin Mahamut dipecat.

Ketika ditanya sebab pemecatan itu mempunyai kaitan dengan pembubaran bahagian-bahagian BERSATU di Negeri Sembilan, Muhyiddin berkata ia kes berasingan.

 



Comments
Loading...