BENARKAH PAS TIDAK MAMPU MENTADBIR TERENGGANU 1999-2004?


DARI SUDUT LAIN

Tidak dapat difahami mengapakah Pakatan Harapan (PH) sering mempertikaikan kemampuan PAS dalam mentadbir sesebuah kerajaan. Walaupun PAS sudah memerintah Kelantan lebih daripada 27 tahun, pernah memerintah Terengganu sebanyak dua kali dan Kedah sekali, tetapi mereka menganggap ia adalah sebuah kerajaan yang gagal.

http://suarapakatandaily.com/archives/16327

Terengganu, Kelantan dan Kedah pernah dikenali sebagai antara negeri termiskin di Malaysia. Di Malaysia, biasanya apabila sesebuah parti yang tidak menguasai kerajaan pusat memerintah, mereka akan berhadapan kesukaran untuk mendapat kerjasama daripada kerajaan pusat. Inilah budaya politik Malaysia sejak sekian lama. Justeru apabila PAS memperolehi tiga negeri yang sangat bergantung kepada bantuan dana daripada pusat, pencapaiannya sama sekali tidak boleh disamakan dengan mana-mana negeri yang diperintah oleh BN dan juga negeri lain seperti Selangor dan Pulau Pinang yang memiliki kekayaan tersendiri.

Di sebalik semua ini, sebenarnya Terengganu semasa pemerintahan PAS memiliki catatan pencapaian tersendiri yang sebenarnya perlu diketahui umum. Media-media yang dikuasai BN dan juga PH tentu sekali tidak mendedahkan perkara ini. Tetapi bagi rakyat, ia perlu untuk diingati supaya kita tidak tertipu dengan persepsi yang dimainkan media.

Terengganu berhadapan saat-saat yang sukar dalam tempoh pemerintahan PAS. Bermula suku ketiga tahun 2000, Kerajaan Persekutuan telah menghentikan bayaran royalti peroleum yang sepatutnya diterima oleh Kerajaan Negeri Terengganu. Royalti yang sepatutnya dinikmati oleh Rakyat Terengganu sepatutnya berjumlah anggaran RM 1 billion setahun. Selain itu, Terengganu dianaktirikan dari aspek pembangunan walaupun pendapatan utama negara datangnya dari hasil petroleum yang disumbang besar oleh sumber dari negeri penyu itu.

https://www.malaysia-today.net/politik-jahat-umno-dalam-isu-royalti-minyak-terengganu-2/

Dalam kekangan tersebut, terdapat beberapa pencapaian Terengganu di bawah pemerintahan PAS yang wajar untuk disebutkan. Pertama dan paling memberi kesan kepada kehidupan rakyat negeri adalah penghapusan satu-satunya tol yang ada di Negeri Terengganu pada waktu itu. Seawal memerintah Terengganu, kerajaan negeri telah menghentikan operasi tol di Jambatan Sultan Mahmud yang menghubungkan antara Kuala Nerus dan bandar Kuala Terengganu. Atas jasa itu, sehingga sekarang kerajaan negeri di bawah BN tidak berani mengadakan semula tol yang telah mereka kenakan di bawah pemerintahan mereka selama ini.

http://buletinonline.net/v7/index.php/rakyat-terengganu-dapat-faedah-rm5000-sejak-kerajaan-pas-hapuskan-tol/

Penghapusan tol merupakan satu perkara yang sangat besar ertinya bagi rakyat. Ia telah mengurangkan kos sara hidup rakyat dan meningkatkan kuasa beli mereka yang secara tidak langsung menjana ekonomi rakyat tempatan. Ia juga adalah perkara yang besar buat kerajaan kerana tidak ada lagi mana-mana kerajaan negeri yang boleh menghapuskan tol sebagaimana yang dilakukan Terengganu. Jangankan BN, negeri bukan BN yang kaya seperti Selangor dan Penang juga tidak mampu menghapuskan tol walaupun ia dijanjikan dalam manifesto mereka.

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0328&pub=Utusan_Malaysia&sec=D alam_Negeri&pg=dn_05.htm

Perkara kedua yang dilakukan oleh Terengganu adalah penghapusan cukai pintu rumah kediaman. Malangnya selepas kerajaan negeri bertukar tangan, cukai tersebut dikenakan semula kepada rakyat. Walaupun bantahan telah dibuat oleh rakyat melalui berbagai NGO, tetapi kerajaan negeri seolah tidak mengendahkan rintihan tersebut.

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0831&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_03.htm

Tidak dinafikan tol dan juga cukai pintu merupakan sumber yang penting kepada kerajaan negeri. Tetapi bagi PAS, ia adalah bersalahan dengan konsep syarak. Di dalam Islam, cukai hanya boleh dikenakan kepada golongan yang berada sahaja. Tol dan cukai pintu malangnya dikenakan kepada masyarakat yang berbilang kemampuan.

Walaupun kehilangan sumber yang agak besar, tetapi pulangan yang diterima agak baik. Dalam tempoh empat tahun Terengganu berjaya meningkatkan jumlah kutipan zakat lebih besar daripada kutipan zaman BN selama 10 tahun. Daripada tahun 2000 sehingga 2004, jumlah kutipan adalah sebanyak RM 92 juta. Di zaman pemerintahan BN bermula 1990 hingga 1999, mereka hanya berjaya mengutip sekitar RM 85 juta sahaja. Selain menunjukkan kepada kutipan yang telus dan efisyen, perkara ini juga menunjukkan taraf hidup rakyat terengganu meningkat dengan ketara.

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0812&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm

Kejayaan PAS yang juga besar adalah usaha membendung gejala jenayah yang menakutkan rakyat. Kerajaan Terengganu telah menggubal Enakmen Jenayah Syariah yang selari dengan tuntutan agama. Ia telah berjaya digubal pada tahun 2003. Namun bagi perlaksanaan secara menyeluruh, beberapa pindaan akta dan perlembagaan perlu dilakukan di peringkat pusat.

http://eharakah.my/index.php/berita/1697-pas-t-ganu-akan-laksana-enakmen-jenayah-syariah

Dari aspek pendidikan, kerajaan negeri Terengganu telah berjaya menubuhkan berbagai institusi pendidikan negeri bertaraf nasional seperti KOSPINT, KIST dan KOSTAQ di bawah seliaan Yayasan Terengganu (YT). Apabila BN mengambil alih kerajaan, mereka telah menukar namanya kepada Sekolah Imtiyaz. Walaubagaimanapun, sekolah ini kekal sebagai penyumbang utama indeks kecemerlangan akademik peringkat negeri Terengganu.

http://buletinonline.net/v7/index.php/pas-terengganu-dan-usaha-menyuburkan-pendidikan/

Satu perkara yang tidak wajar dilupakan adalah bagaimana kerajaan negeri Terengganu berjaya menyelamatkan beberapa anak syarikat milik kerajaan negeri. Antaranya adalah syarikat TDM. Daripada menanggung hutang ratusan juta ringgit dan hampir bangkrap, syarikat tersebut kini bukan sahaja mampu bertahan malah kembali aktif dan menjana pendapatan untuk negeri. Sehingga kini, TDM kekal sebagai anak syarikat kerajaan negeri yang menyumbang kepada pendapatan kerajaan.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/pendapatan-tdm-berhad-meningkat-1.398218

Banyak lagi pencapaian-pencapaian kerajaan negeri Terengganu di bawah pemerintahan PAS yang tidak sempat disebutkan. Cukuplah beberapa perkara ini menjadi indikator bahawa PAS bukan sahaja mampu untuk memerintah, tetapi boleh menjadi lebih baik daripada kerajaan sedia ada. Segala persepsi yang bermain di media hanyalah auta yang jauh daripada realiti.

Rujukan lanjut mengenai perjalanan PAS mentadbir Terengganu:

https://www.harakah.net.my/sejarah-pas-tganu

 

 



Comments
Loading...