SUDIKAH ORANG PAS MENGURUSKAN MAYAT DR MAHATHIR?


DARI SUDUT LAIN

Ketika menyambut harijadi Dr Mahathir ke 70 (1995), seorang pemimpin parti pembangkang bertanya kepada beliau, “sampai bila Dato Seri mahu memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia”. Dr Mahathir menjawab dengan nada bergurau, “keluarga saya umur mereka biasa mencecah 100 tahun, jadi saya ada 30 tahun lagi”. Sekarang umur Dr Mahathir sudah menjangkau 93 tahun, jadi jika berdasarkan umur kebiasaan keluarga beliau, beliau masih ada tujuh tahun lagi.

Sepanjang Dr Mahathir berpolitik beliau telah menghadapi pelbagai orang dan golongan, kebanyakan mereka akan menjadi musuh Dr Mahathir kecuali Daim Zainuddin, Sanusi Junid, Zainuddin Maidin dan Kadir Jasin. Biarpun Dr Mahathir pernah juga berkrisis dengan mereka tetapi akhirnya kiambang tetap bertaut. Yang lain sehingga hari ini tetap tidak dipercayai oleh Dr Mahathir walaupun kadang-kadang Dr Mahathir terpaksa berpelukan dengan mereka apabila masing-masing berhadapan musuh yang sama.

Golongan yang paling dimusuhi oleh Dr Mahathir ialah PAS meskipun beliau pernah beberapa kali menggunakan podium PAS. Yang terkini Dr Mahathir terus menyerang Presiden PAS dan membangkitkan semula isu ‘Amanat Haji Hadi’. Dr Mahathir bukan hanya menyerang PAS secara penderaan mental, malah semasa pemerintahan kuku besinya, beliau begitu banyak menyerang PAS dalam bentuk serangan fizikal. Tragedi Memali adalah bukti yang paling jelas, diperakui oleh semua pihak kecuali Dr Mahathir dan empat orang rakan senegerinya.

Ketika usia meniti senja Dr Mahathir boleh dinobatkan sebagai bapa kejahilan, sebagaimana seorang lagi rakan senegerinya yang telah meninggal dunia beberapa bulan yang lalu. Dr Mahathir adalah pembela kuat Dr Kassim Ahmad sehingga beliau mengumpamakan tindakan Dr Kassim tidak mengiktiraf hadith seumpama Imam al-Bukhari. Satu Malaysia, malah mungkin satu dunia mengetahui bahawa Dr Kassim adalah golongan anti hadith dan menjadi pengikut ajaran Rashad Khalifa.

Dr Mahathir juga seperti Dr Kassim, seorang yang merasakan berilmu tentang ajaran Islam, tetapi sebenarnya jahil. Semua orang tahu bagaimana ugutan dia terhadap Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengancam untuk mengambil tindakan jika beliau tetap mahu melaksanakan hudud di Kelantan. Malah sehingga hari ini Dr Mahathir masih terus menghina Nik Aziz termasuk di hadapan bekas pimpinan PAS yang telah menyertai PAN. Kebencian Dr Mahathir terhadap Nik Aziz memang jelas terlihat.

Dr Mahathir juga disebut oleh Ahmad Lutfi Uthman dalam bukunya “Mahathir Lawan Mufti” bermusuhan dengan Dato Ishak Baharom, Mufti Selangor yang mengambil tindakan tegas menangkap dua wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik di Selangor. Ekoran daripada itu, Ishak Baharom telah diberhentikan dari jawatan Mufti dipercayai ada campur tangan Dr Mahathir. Beliau kemudiannya bergerak aktif dalam dakwah bersama PAS sehingga ke hujung usianya sebagai Ahli Majlis Syura Ulama PAS.

Semasa rakaman sebuah mesyuarat yang di pengerusikan oleh Dr Mahathir di JAKIM bocor ke pengetahuan umum, beliau dengan bongkaknya memperlekehkan Dato Dr Haron Din yang digelarnya dengan ulama jampi dan menjual air jampi. Sehingga tokoh agama yang merupakan Mursyidul Am PAS ketiga meninggal dunia, Dr Mahathir tidak pernah menarik balik cercaannya di khalayak umum, sebagaimana dia juga tidak pernah mengakui kesilapan menuduh Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang peliwat.

Malah yang lebih besar bocor dari rakaman suara tersebut, sikap Dr Mahathir mempersenda sunnah Rasulullah saw menyimpan janggut. Dalam rakaman tersebut beliau mentertawakan golongan yang mengikut sunnah tersebut, malah menyebut ‘Rasulullah saw tidak mencukur janggutnya kerana tiada gillette. Demikian biadabnya Dr Mahathir terhadap Islam juga terhadap perjuangan PAS yang mahu meninggikan Islam. Sehingga umurnya berbaki singkat ini, tidak kelihatan beliau mahu mengakui kesalahan dan bertaubat.

Dr Mahathir dan Dr Kassim Ahmad mempunyai pendirian yang sama serta sikap yang sama terhadap Islam. PAS pula antara golongan yang begitu banyak terkesan dengan pendirian dan sikap Dr Mahathir dan Dr Kassim. Sekarang Dr Kassim sudah tiada. Ketika dia mati tiada pihak yang sudi menguruskan mayatnya, sehingga orang PAS tampil melaksanakan tanggungjawab tersebut. Dr Mahathir juga akan mati. Ramai yang sudah countdown tarikh keramat tersebut. Jika nanti Dr Mahathir mati, sudikah orang PAS menguruskannya?

 



Comments
Loading...