Mahfuz akhirnya keluar PAS


Keputusan Mahfuz hari ini bukan sesuatu yang memeranjatakan, malah sudah lama dijangka.

(FMT) – Datuk Mahfuz Omar yang selama ini mempertikaikan kepimpinan partinya PAS, hari ini akhirnya mengumumkan keluar daripada PAS, selepas 34 tahun menjadi ahli.

“Bermula 12 tengah malam ini, saya adalah ahli Parlimen bebas,” katanya kepada wartawan di sini.

Mahfuz tidak mengumumkan menyertai parti lain termasuk Amanah yang sering didampinginya.

“Saya ambil tempoh bertenang,” katanya. “Pemergian dari PAS adalah untuk negara dan rakyat. Untuk buat satu keputusan terbaik untuk negara dan rakyat.”

Mahfuz berkata beliau akan menghantar surat peletakan jawatan kepada Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan, dan peletakan jawatannya berkuat kuasa mulai 11.59 malam, seminit sebelum tahun 2018 bermula.

mahfuz

Mahfuz menjadi wakil rakyat kerusi Parlimen Pokok Sena sejak 1999 kecuali selama 4 tahun selepas ditewaskan calon Barisan Nasional pada 2004.

Susulan pemilihan PAS pada 2015, beliau dilihat semakin rapat dengan pemimpin Amanah di samping gabungan 4 parti yang tidak disertai PAS, Pakatan Harapan.

Mahfuz juga tidak ada dalam senarai calon yang disediakan PAS Kedah bagi mewakili parti itu pada pilihan raya akan datang.

 



Comments
Loading...