Tun M mohon maaf, akui buat kesilapan


(Malaysia Gazette) – Buat pertama kali dalam sejarah selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan menyertai pembangkang Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.

Permohonan maaf itu sudah semestinya dinanti-nantikan sesiapa sahaja yang pernah menjadi mangsa politik zamannya khususnya tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan keluarga bekas timbalan perdana menteri, Anwar Ibrahim.

“Sebelum saya akhiri ucapan ini, saya ingin mohon ampun dan maaf jika terkasar bahasa dan tersinggung perasaan sesiapa.

“Saya seperti manusia lain tidak mungkin sunyi daripada berkata dan melakukan kesalahan bukan sahaja hari ini tetapi juga selama saya berkecimpung dalam politik negara.

“Saya mohon maaf terhadap apa juga kesalahan saya selama ini,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Pusat Konvensyen Ideal di sini hari ini.

Tindakan Mahathir itu dilihat cuba meraih sokongan pengundi dan penyokong Pakatan Harapan (PH) yang masih berbelah bahagi untuk memberi undi kepada bekas Presiden UMNO itu yang terkenal dengan pemerintahan kuku besi.

Tidak hairan apabila Mahathir terus menyerang kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menyalah guna kuasa untuk mengawal semua agensi kerajaan bagi mengekalkan kemenangan BN dalam PRU-14.

“Parti kerajaan akan guna segala kuasa alatan pemerintah dan anggotanya untuk menghalang kita. Hari ini pun sudah kita lihat penipuan ketara dilakukan oleh kerajaan Najib.

“Sempadan kawasan pilihan raya sudah diubah, pengundi di kawasan lain sudah dipindah untuk mengundi di kawasan tertentu supaya kemenengan diperolehi oleh BN.

“Undi pos sudah ditambah supaya mereka mengundi lebih awal dan parti kita (pembangkang) tidak dibenar kawal peti undi,” katanya lagi.

 



Comments
Loading...