PM sementara tak berperlembagaan, kata PAS


“Perdana Menteri akan dilantik dari kalangan pemimpin parti yang mendapat majoriti kerusi di parlimen.”

(Mkini) – PAS menyifatkan tindakan PKR yang ingin melantik perdana menteri sementara jika memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bukanlah amalan yang sihat dan tidak berperlembagaan.

Sebaliknya Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata proses pelantikan perdana menteri itu perlulah mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Katanya, Perkara 43 dalam Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa perdana menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah seorang anggota Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti anggotanya.

Selain itu Takiyuddin berkata proses itu perlu mengikut perkara 40 fasal 2 iaitu kuasa prerogatif Yang di Pertuan Agong dalam hal melibatkan pelantikan perdana menteri tanpa perlu mengikut nasihat mana-mana pihak.

“Berdasarkan peruntukan-peruntukan di atas, jelaslah bahawa selepas PRU14, Yang di Pertuan Agong boleh menggunakan ‘hak istimewa’ baginda untuk melantik seorang daripada 222 orang ahli parlimen Malaysia yang pada ‘hemat’ baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Perdana Menteri akan dilantik dari kalangan pemimpin parti yang mendapat majoriti kerusi di parlimen,” katanya menerusi kenyataan medianya hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan PKR secara prinsip bersetuju dengan cadangan Pakatan Harapan untuk menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri sementara jika gabungan pembangkang berjaya menumbangkan BN pada PRU14.

Menurut sumber, keputusan itu dibuat pada mesyuarat biro politik PKR pada 19 Disember lalu dan turut mendapat restu daripada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebahagian besar pemimpin PKR enggan mengulas kerana difahamkan terdapat arahan “menutup mulut” berhubung isu berkenaan.

Sementara itu anggota parlimen Kota Bharu turut berkata sekiranya selepas PRU mana-mana parti yang bertanding gagal memperoleh majoriti bagi membentuk kerajaan, agong akan menggunakan kuasa tersebut untuk memilih parti majoriti atau minoriti untuk dilantik menjadi perdana menteri.

“Walau apapun keadaannya, PAS berpandangan perdana menteri ‘locum’ bukanlah amalan yang baik dan tidak mencerminkan kerajaan yang dipimpinnya sebuah kerajaan stabil dan kuat,” katanya.

 



Comments
Loading...