Hak Anwar runding dengan PAS, Azmin ingatkan Dr Mahathir


Timbalan Presiden PKR itu berkata Anwar Ibrahim bukan sahaja ketua umum PKR tetapi juga ketua umum Pakatan Harapan.

(FMT) – Datuk Seri Azmin Ali hari ini mempertahankan langkah Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan rundingan dengan PAS, sehari selepas Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru sebarang rundingan dengan parti Islam itu dihentikan.

“Saya nak ingatkan Dr Mahathir, Anwar adalah ketua umum kepada Pakatan Harapan. Beliau bukan sekadar ketua umum PKR,” kata Azmin merujuk gabungan yang mengikat PKR, DAP, Amanah dan PPBM.

“Sebagai ketua umum, beliau berharap memberikan pandangan dan cadangan,” kata menteri besar Selangor itu, ketika diminta mengulas perang mulut yang semakin rancak di kalangan mereka yang bersetuju dan sebaliknya untuk bekerjasama dengan PAS.

Anwar baru-baru ini mengesahkan beliau bersetuju PKR mengadakan rundingan dengan PAS menjelang pilihan raya umum ke-14.

Ia selepas Majlis Presiden Pakatan Harapan memutuskan untuk tidak berunding dengan PAS, susulan percakaran dalaman PKR.

Semalam, Dr Mahathir mempersoalkan langkah Anwar itu.

“Kita telah memutuskan sebagai satu gabungan, tidak ada rundingan lagi dengan PAS. Kenyataan yang dibuat oleh Anwar bahawa dia yang menggesa mereka untuk cuba dan berbincang dengan rakan lama.

“Kita akan hentikan itu. Saya harap kami dapat lakukannya,” kata Dr Mahathir selepas menghadiri majlis di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam.

Keputusan PKR berunding dengan PAS menyaksikan anggota Biro Politik PKR, William Leong meletak jawatan baru-baru ini.

Ia disusuli dengan dakwaan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, yang berkata banyak keputusan Biro Politik diabaikan sejak Anwar dipenjarakan pada Februari 2015.

Pendedahan Rafizi itu membawa kepada perang mulut terbuka antara kumpulan dalam PKR yang menyokong dan menentang sebarang kerjasama pilihan raya dengan PAS.

Semalam, anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya menuduh Rafizi dengan membangkitkan isu “Langkah Kajang” 3 tahun lalu, yang disifatkan permulaan keretakan hubungan antara PAS dan PKR.

Ditanya mengenainya, Azmin hari ini enggan mengulas lanjut, dan sekadar berkata “tumpunan kita ialah untuk persiapan pilihan raya umum”.

“Saya mengajak semua pimpinan supaya tidak bercakaran di lapangan umum, apatah lagu media tidak mesra pembangkang,” tambahnya.

Azmin turut yakin pimpinan parti boleh menyelesaikan secara dalaman percakaran di kalangan pemimpin.

“Semua urusan parti akan diuruskan dalaman, bukan dalam Utusan Malaysia,” katanya merujuk akhbar harian pro-kerajaan.

Menurutnya, ahli politik perlu bijak menguruskan pelbagai cabaran termasuk tindakan media “memutar belit”.

“Ia sebahagian daripada proses demokrasi. Saya menerimanya. Tetapi bagaimana kita menguruskannya.

“Sebagai pemimpin, kita kena urus secara baik dan bertanggungjawab. Jangan bising-bising di luar, sebab rakyat mahu parti politik bersatu membawa perubahan,” kata Azmin.

 



Comments
Loading...