Dr Mahathir tidak berprinsip, kata Zahid


(FMT) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad seorang lelaki tidak berprinsip kerana beliau ialah penentang demonstrasi awam ketika memerintah negara selama 22 tahun.

Merujuk perhimpunan mega pada Oktober yang dirancang Pakatan Harapan (PH), Zahid berkata, bekas perdana menteri itu tegas menentang demonstrasi awam dahulu.

“Kini, apabila berada di pihak sana, beliau merupakan penganjur utama. Tetapi, jika seseorang (mengubah pendiriannya) apabila berada dalam keadaan dan masa berbeza, maka orang itu tidak berprinsip.

“Seorang yang mempunyai prinsip, tidak kira di mana beliau berada, sama ada mempunyai kedudukan atau tidak, tidak kan mengubah prinsipnya,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak tergugat dengan perhimpunan yang dijangka dihadiri puluhan ribu penyokong pembangkang seperti dikatakan Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan.

Beliau berkata, tiada sebab untuk merasa tergugat kerana “silent majority” tidak akan menyertai perhimpunan itu.

“Dan kami berharap ‘silent majority’ akan terus menyokong kerajaan pemerintah.”

Perhimpunan anti-kleptokrasi Pakatan Harapan dijadualkan berlangsung pada 14 Oktober ini di Padang Timur, Petaling Jaya.

Perhimpunan itu adalah kemuncak kepada kempen jelajah seluruh negara oleh Pakatan Harapan bagi menjelaskan dakwaan penyelewengan dana 1MDB dan saman sivil difailkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

Ditanya jika kerajaan akan membenarkan perhimpunan itu diadakan, Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, ia dibenarkan jika penganjur memenuhi syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012.

“Sebarang perhimpunan tertakluk kepada PAA. Jika mereka memenuhi syarat, kerajaan khasnya Kementerian Dalam Negeri terbuka untuk membenarkannya diadakan.

“Tetapi, jika mereka tidak memenuhi syarat, perhimpunan itu tidak dibenarkan.”

Kempen “Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi” itu bermula di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 6 Julai lalu dan akan berakhir dengan perhimpunan besar-besaran itu.

Ia bertujuan menghebohkan saman sivil DoJ berkaitan 1MDB.

DoJ melalui tindakan terbaru yang difailkan di California pada 16 Jun lalu mahu menyita AS$540 juta (RM2.3 bilion) aset termasuk karya seni, barang kemas dan hak 2 filem yang dibeli dengan dana didakwa diseleweng daripada 1MDB.

DoJ menerusi saman sivil pertama yang difailkan pada Julai 2016 mahu merampas semua aset didakwa dibeli dengan dana 1MDB, termasuk Hotel Park Lane di New York, sebuah hotel mewah di Beverly Hills, kondominium di New York, karya seni serta hasil kutipan daripada filem “The Wolf of Wall Street” yang dibintangi Leonardo DiCaprio.

Keseluruhan nilai aset yang cuba dirampas DoJ meningkat kepada AS$1.8 bilion (RM7.7 bilion) dengan tuntutan terbaru itu.

 



Comments
Loading...