Kerajaan Selangor U-turn ke zaman BN


DARI SUDUT LAIN

Ramai mengharapkan dengan bertukarnya kepimpinan negeri Selangor kepada pihak lain, pentadbiran negeri akan lebih baik. Tiada lagi pengaruh politik yang tidak sihat terhadap urustadbir kerajaan. Segala penyelewengan, salah guna kuasa dapat dibersihkan. Segala keputusan, polisi semasa dan pengurusan diharapkan lebih telus dan meletakkan kepentingan rakyat pada tahap yang utama.

Namun segalanya hanya indah khabar dari rupa. Pentadbiran kerajaan negeri Selangor hanya nampak baik di bawah teraju PKR ketika Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar sahaja. Apabila berlaku krisis dalam pembangkang sehingga menyebabkan jawatan MB bertukar kepada Dato Seri Azmin Ali, satu persatu perubahan yang dibawa oleh Khalid diubah semula oleh Azmin. Kini kerajaan Selangor sudah kembali seperti zaman pemerintahan BN dahulu.

Contohnya dalam isu pengurusan air. Pada tahun 1996, Tun Mahathir yang pada waktu itu menjadi Perdana Menteri Malaysia memperkenalkan dasar penswastaan. Banyak pemilikan kerajaan diswastakan kepada individu tertentu termasuklah kepentingan air Selangor, semasa Muhammad Taib selaku Menteri Besar.Apabila Pakatan Rakyat menang di Selangor dan Tan Sri Khalid menjadi MB menggantikan Khir Toyo dari UMNO, belau mahu menunaikan janji manifesto Pakatan Rakyat untuk memberikan air percuma kepada rakyat. Lalu kerajaan memulakan langkah mengambil alih pengurusan air Selangor daripada beberapa syarikat swasta.

Berikutan sikap Tan Sri Khalid yang begitu tegas dalam rundingan pengambil alihan pengurusan air, beliau tidak disenangi oleh rakan-rakan di dalam PKR sendiri. Akhirnya menyebabkan berlaku krisis dalaman PKR, lalu dicetuskan Langkah Kajang dan beliau digantikan secara kasar oleh Azmin Ali. Kini proses pengambil alihan air dijayakan mengikut rancangan yang tidak dipersetujui Khalid sebelum ini, yang membelakangkan kepentingan rakyat dan masih mempergunakan kepentingan air untuk memberi keuntungan kepada individu melalui rundingan yang sedang diusahakan.

Baca ulasan lanjut:

http://www.malaysia-today.net/ex-selangor-mb-khalids-removal-could-end-up-costing-selangor-up-to-rm2-35-billion/

Dalam isu pengurusan tanah juga berlaku sedemikian. Pada tahun 1994, kerajaan Selangor di bawah Menteri Besar Tan Sri Muhammad Taib telah menyerahkan salah satu projek di bawah Rancangan Revolusi Hijau (RRH 1) di mukim Ijok, Daerah Kuala Selangor bagi menyiapkan Bandar Alam Perdana kepada empat pemaju. 2820 ekar tanah milik kerajaan, termasuk sebahagian tanah milik peneroka dan individu terlibat dibangunkan atas alasan menaikkan taraf hidup rakyat miskin melalui kegiatan pertanian di kawasan berkenaan.

Namun tahun demi tahun berlalu, projek tersebut telah lari dari landasan asal. Hal demikian kerana kebanyakan tanah yang dikeluarkan atas nama RRH untuk pertanian akhirnya dijadikan tapak pembangunan hartanah. Lebih menyedihkan, projek pembangunan yang lahir daripada tanah RRH kebanyakannya mempunyai status terbengkalai termasuk Bandar Alam Perdana yang disahkan terbengkalai pada tahun 2006 oleh Kementerian Perumahanan Kerajaan Tempatan. Projek ini melibatkan seramai 383 peserta RRH yang kehilangan tanah mereka. Mereka juga tidak dibayar pampasan sepenuhnya. Selain mereka, projek Bandar Alam Perdana turut mengecewakan 3,436 pembeli rumah kerana mereka sepatutnya sudah boleh berpindah ke Bandar berkenaan sejak 2002. Mereka juga menderita kerana terpaksa menanggung bayaran pinjaman projek perumahan itu sedangkan dalam masa yang sama terpaksa membayar sewa rumah sedia ada.

Selepas Kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih pada Mac 2008, Tan Sri Khalid yang juga merupakan ADUN Ijok berusaha bagi menyelesaikan perkara ini dengan bertindak mengambil alih kembali tanah daripada para pemaju. Dua daripada empat syarikat pemaju terlibat iaitu LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd telah membuat tuntutan sivil terhadap kerajaan negeri sebanyak 5 bilion, namun mahkamah telah menolaknya. Sebagai makluman, pengarah bersama kedua-dua syarikat LBCN dan Mujur Zaman adalah Dato Paduka Khairudin Abu Hasan, pengasas Parti Bebas Rasuah yang kini bersama Pakatan Harapan (PH).

Malangnya setelah Dato Seri Azmin naik menggantikan Tan Sri Khalid, kerajaan negeri telah mengambil pendekatan berunding semula dengan syarikat-syarikat pemaju yang telah jelas merugikan kerajaan negeri dan juga rakyat yang terlibat. Ia sekaligus berlawanan dengan keputusan mahkamah yang membenarkan tindakan pentabiran Tan Sri Khalid untuk mengambil alih tanah tanpa sebarang tuntutan kerugian oleh mana-mana pemaju.

Baca:

https://sg.news.yahoo.com/selangor-favour-dialogue-solve-rm1-004652943.html

http://www.thestar.com.my/business/business-news/2015/09/25/eco-world-to-meet-state-govt/

Isu ketiga yang turut menyedihkan adalah budaya pentadbiran Kerajaan Negeri sendiri. Sebagaimana yang sedia maklum, kerajaan di bawah teraju BN memiliki polisi yang sangat longgar dalam bab integriti, sehingga wujud lubang-lubang yang banyak untuk berlaku penyelewengan dan rasuah. Antaranya seperti budaya gatekeeper, orang tengah, broker, minta komisyen dan campurtangan orang-orang politik. Ketika Tan Sri Khalid mengambil alih tugas, beliau menghapuskan semua gatekeeper, orang tengah dan yang sewaktu dengannya. Setiap urusan diselia secara langsung oleh beliau dan kakitangan yang dilantik secara sah sahaja. Semua aliran wang dilakukan secara telus dan akauntabel tanpa sebarang urusan ‘bawah meja’. Tidak hairanlah sepanjang pentadbiran Tan Sri Khalid, saban tahun Ketua Audit negara mengeluarkan kenyataan memuji dan komen positif terhadap kerajaan Selangor berdasarkan Laporan Audit Negara.

http://www.keadilandaily.com/pujian-laporan-audit-pakatan-selangkah-lagi-menuju-putrajaya/

https://www.roketkini.com/2013/10/08/laporan-ketua-audit-negara/

Namun setelah Tan Sri Khalid dijatuhkan, budaya lama kerajaan BN dihidupkan kembali. Sesiapa yang pernah melakukan urusan dengan kerajaan negeri pasti dapat merasai beza pentadbiran kedua MB ini dari sudut ketelusannya. Anda boleh lihat di pejabat-pejabat kerajaan negeri malah di keliling MB sendiri, terdapat individu-individu yang tidak dapat dipastikan jawatan dan bidang tugasnya secara jelas, tetapi memiliki kuasa untuk menguruskan projek-projek dan urusan melibatkan kerajaan negeri. Negeri Selangor juga sudah tidak menerima pujian Ketua Audit seperti dahulu sebaliknya menerima teguran yang semakin banyak.

Kesemua yang dinyatakan di atas menunjukkan bahawa era pentadbiran Selangor di bawah PKR sudah melakukan pusingan U, kembali ke zaman BN dahulu. Jika dahulu kita biasa mendengar isu penyelewengan melibatkan orang politik dalam kerajaan negeri seperti dua bekas Menteri Bekas Selangor, Tan Sri Muhammad Taib dan Dato Seri Khir Toyo yang telah dibuktikan di mahkamah, kini orang politik dalam PKR pula yang diheret ke mahkamah atas pertuduhan penyelewengan. Beliau adalah Dato Adam Rosly, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang dan pegawai khas kepada YB Ampang, Zuraida Kamarudin yang juga Ahli Majlis Tertinggi PKR.

Baca:

http://www.malaysiakini.com/news/379873



Comments
Loading...