Laporan DoJ akan dakwa Jho Lo palsu, kata ‘The Independent’


(MYKMU) – Portal berita ‘The Independent’ berkata, Wall Street Journal (WSJ) telah mengeluarkan laporan palsu kononnya Jabatan Kehakiman (DOJ) AS sedang menyiapkan kes siasatan jenayah bagi mendakwa ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Lo.

Menurut portal The Independent, laporan WSJ itu hanyalah rekaan semata-mata kerana kenyataan ‘sumber’ yang dimaksudkan itu adalah berdasarkan dakwaan Sarawak Report.

“(Laporan) ‘pemberi maklumat’ untuk WSJ itu tidak lain dan tidak bukan adalah Sarawak Report (SR), mereka yang bertanggungjawab mengenai berita yang mengatakan bahawa perjanjian Petronas dan Saudi Aramco telah gagal.”

“Ia adalah palsu semata-mata, kerana DOJ tidak mempunyai sebarang bukti untuk mengaitkan kes tersebut ke atas Low,” kata sumber itu kepada The Independent.

WSJ sebelum ini memetik sumber di Singapura kononnya pihak berkuasa Amerika Syarikat telah selesai melakukan soal siasat di republik itu dan bakal mengemukakan pendakwaan keatas Jho Low dalam masa terdekat.

Sumber ‘The Independent’ itu turut menjelaskan WSJ sebelum ini melaporkan kononnya kerjasama syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dengan syarikat Saudi Aramco gagal juga adalah palsu.

“Anda tahu perjanjian Petronas-Aramco berjaya, dan kini mereka berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu memecat Ketua Pegawai Eksekutif Petronas kerana menentang perjanjian Aramco itu?”

“Ini adalah berita palsu!”

Petronas pada 28 Februari lalu telah menandatangani perjanjian pembelian saham dengan Saudi Aramco.

Menerusi transaksi jual beli saham itu, kedua-dua syarikat akan memiliki pegangan ekuiti sama rata ke atas beberapa projek dan aset penapisan minyak, loji perekah dan kemudahan petrokimia RAPID dalam Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dengan sejumlah AS$7 bilion (RM31 bilion) bakal dijana menerusi kerjasama berkenaan.



Comments
Loading...