Muhyiddin tak patut cuti lama ke Eropah, kata Khairuddin


khairuddin-muhyiddin-bersatu

Bekas ahli PPBM berkata dalam keadaan parti kucar-kacir pada masa ini, ketiadaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden merencatkan gerak kerja di peringkat akar umbi.

(FMT) – Tan Sri Muhyddin Yassin tidak seharusnya bercuti di Eropah tatkala partinya dalam keadaan kucar-kacir dan menghadapi kemelut dalaman, kata Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu berkata tindakan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu bercuti hanya akan merencatkan gerak kerja ahli dan pemimpin di peringkat akar umbi.

“Semua orang kelam kabut berjuang di peringkat akar umbi, tidak kira hujung tahun atau awal tahun. Tun Dr Mahatahir Mohamad sendiri tidak bercuti.

“Pilihan raya umum (PRU) boleh diadakan pada bila-bila masa, April, Ogos. Segala kemungkinan boleh berlaku. Muhyiddin sepatutnya berada dalam negara, dia presiden parti,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, dilaporkan Muhyddin kini masih berada di Eropah. Sepanjang beliau bercuti, pelbagai kemelut dalaman berlaku dalam PPBM dan antaranya ialah Anina Saadudin tersingkir daripada jawatan ketua sayap wanita parti, Srikandi.

Bahkan, bekas senator Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor turut memutuskan untuk keluar PPBM, kurang 3 bulan selepas penyertaannya.

Pada 27 Oktober lalu, Khairuddin turut mengumumkan keluar PPBM berkuat kuasa serta merta dengan alasan untuk memberi tumpuan kepada kes mahkamah yang sedang berlangsung.

Khairuddin berkata PPBM parti yang masih baharu dan sememangnya perlukan perhatian siang dan malam daripada presiden parti.

“Kalau PPBM sudah mantap tidak mengapa, tetapi PPBM baru ditubuhkan. Tindakan Muhyiddin bercuti tidak wajar dan tidak bijak sama sekali.

“Lepas PRU kalau dia hendak bercuti, bercutilah. Tetapi ini masa untuk kita kumpul tenaga, turun habis-habisan. Ini tidak, keluar negara berminggu-minggu,” katanya.

READ MORE HERE



Comments
Loading...