Keluar parti: Ezam nafi ada konflik dalaman


Ezam

(Sinar Harian) – Pengerusi Hisbah Centre for Reform (Hisbah), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor menafikan tindakannya keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah disebabkan oleh konflik dalaman.

Menurut beliau, tindakannya mengundur diri adalah untuk memberikan tumpuan terhadap gerak kerja Hisbah khususnya dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Felda pada tahun hadapan.

“Keputusan ini bukan dibuat saya seorang sahaja namun ia melibatkan ahli lembaga pengarah Hisbah yang lain melalui mesyuarat tahunan sebelum ini di mana mereka mahukan saya tumpu kepada dua isu tersebut pada tahun hadapan.

“Kalau saya terikat dengan parti (Bersatu), ia akan menyukarkan gerak kerja pada masa hadapan,”katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai pengundurannya itu, Ezam memaklumkan bahawa pihaknya juga telah menghantar surat kepada kepimpinan Bersatu pada minggu lalu bagi menyatakan hasratnya tersebut.

Menurut Ezam, walaupun beliau telah mengundurkan diri, pihaknya akan meneruskan sokongan kepada Bersatu khususnya pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohammad selepas ini.

“Hubungan saya dengan Tun Mahathir masih baik dan saya akan meneruskan sokongan kepada beliau selepas ini,”katanya.

Sebelum ini, Datuk Khairuddin Abu Hassan turut mengumumkan keluar daripada Bersatu pada 27 Oktober lalu.

 



Comments
Loading...