RM2.7 bilion untuk ambil alih SPLASH belum muktamad, kata Exco Selangor


Zaidy Abdul Talib

“Kita memang bersedia untuk ‘figure’ (angka) dalam lingkungan itu (RM2.7 bil), kerana kita (kerajaan negeri) sudah buat penilaian bebas,” beliau memberitahu Antarapos.

(Antarapos) – Kerajaan Selangor bersedia menimbang pembayaran sekitar RM2.7 bilon untuk mengambil alih SPLASH namun jumlah sebenar pampasan itu akan tertakluk kepada persetujuan kerajaan pusat dan syarikat konsesi air itu sendiri, kata Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.

Splash atau Syarikat Pengeluar Air Selangor sebelum ini menolak tawaran RM250 juta daripada kerajaan negeri di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berundur pada tahun 2014.

Rundingan untuk mengatasi kebuntuan itu bagi melengkapkan penstrukturan semula industri air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berlarutan dibawah teraju pengganti Khalid, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Zaidy berkata anggaran tawaran baru RM2.7 bilion dicapai menerusi badan penilaian bebas yang dikerah oleh kerajaan negeri.

“Kita memang bersedia untuk ‘figure’ (angka) dalam lingkungan itu (RM2.7 bil), kerana kita (kerajaan negeri) sudah buat penilaian bebas,” beliau memberitahu Antarapos.

Bagaimanapun Zaidy menegaskan bayaran untuk mengambil alih SPLASH belum dimuktamadkan kerana masih memerlukan maklum balas Putrajaya.

“Sekarang ini kerajaan persekutuan akan melantik badan penilaian bebas untuk melihat harga yang sepatutnya dibayar kepada SPLASH.

“Dipihak kerajaan negeri, kita sudah melantik awal lagi. Tapi sekarang kerajaan persekutuan baru melantik (badan penilaian), kita tunggulah hasil penilaian itu,” jelas beliau.

“Hasil penilaian itu, mereka akan beri satu nilai untuk dimuktamadkan untuk dipersetujui SPLASH dan kerajaan Selangor,” kata beliau.

Justeru, kata Zaidy,  angka RM2.7 bilion yang diuar-uarkan “belum muktamad lagi.”

“Proses ini memerlukan (persetujuan) semua pihak, tak boleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri saja bersetuju. Jadi sekarang ini, kerajaan persekutuan cadangkan supaya RM2.7 bilion dikaji semula dengan melihat kepada hasil penilaian bebas,” kata Zaidy.

Tiada penglibatan PAS Pusat

Beliau menolak tanggapan bahawa PAS yang masih rakan komponen kerajaan negeri Selangor,  meminta ahli exco parti itu menolak pembayaran pampasan setinggi RM2.7 bilion kepada SPLASH.

“Tiada arahan atau kenyataan (sedemikian) daripada PAS Pusat. Yang penting keputusan itu kita buat berdasarkan kepada penilaian dan maklumat tepat yang sepatutnya, sebab kita nak beli SPLASH, kita pun nak beli dengan harga sewajarnya, tak boleh terlalu rendah dan terlalu tinggi. Mesti berdasarkan penilaian pihak ketiga,” kata Zaidy.

“Kita (negeri) sudah buat penilaian, kerajaan persekutuan pun akan buat penilaian, nanti akan dapat satu angka yang kita persetujui bersama, maka adillah.

“Dipihak mana pun, bila kita berikan maklumat ini dengan tepat, saya kira mereka boleh terima,” kata Zaidy.

Zaidy selaku Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata sebagai pemimpin parti, beliau dan dan exco PAS yang lain “dari masa ke semasa memang merujuk kepada PAS Pusat untuk mendapatkan nasihat..(namun) ini adalah keputusan (yang akan dibuat oleh) kerajaan negeri.”

Kerajaan Selangor sebelum ini telah mengambil alih aset dan operasi tiga syarikat konsesi lain.

Syarikat berkenaan adalah Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB) sebanyak RM2.47 bilion, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) (RM3.11 bilion) dan Konsortium ABBAS Sdn Berhad (ABBAS) (RM990 juta).

SPLASH bagaimanapun menolak tawaran RM250 juta kerana mendakwa  nilai syarikat itu berjumlah RM2.5 bilion setakat 31 Disember 2013 dan jika dikira tempoh konsesi 16 tahunnya  dilupus, syarikat itu bernilai RM3.9 bilion.

Pengambilalihan SPLASH akan merintis kepada kerajaan negeri menguruskan sendiri sektor air dan sekali gus mempunyai ruang lebih luas  untuk menetapkan tarif kadar air.

Beberapa pihak sebelum ini memberi peringatan jika syarikat konsesi air di beri pampasan terlalu tinggi, ia akan menyukarkan usaha memastikan tariff air tidak membebankan rakyat.

Zaidy yakin apa juga bayaran yang di persetujui, akhirnya, akan memberi manfaat kepada penduduk  negeri itu.

“Bila sudah selesai.., pengambilalihan, kita fokus kepada bagaimana kita nak tambah baik dalam hal pengoperasian air ini selepas kita (sudah) ambil semua syarikat konsesi.

“Oleh kerana itu kita minta ia dimuktamadkan dengan segera supaya kita boleh rancang dengan holistik (menyeluruh),” kata Zaidy.



Comments
Loading...