Anwar sudah ‘bersih’, boleh kerjasama lawan Najib, kata bekas pemimpin TIBAI


Zahid-Md-Arip

Zahid tidak melihat perbezaan antara dirinya dan Anwar, sebaliknya lebih menumpukan persamaan pada diri masing-masing.

(FMT) – Muhammad Zahid Md Arip yang dahulu lantang menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menganggap ketua umum PKR itu sudah “bersih” dan sedia bekerjasama dengannya.

Bekas mursyidul am kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) itu kini adalah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Zahid berkata, beliau tidak melihat perbezaan dalam dirinya dan Anwar, sebaliknya lebih menumpukan persamaan antara mereka berdua.

“Kita tutup buku lama, kita buka buku baharu kerana Anwar berada di dalam, saya berada di luar. Kita menentang Anwar dari segi politik, ada perangai dan tingkah laku dia yang saya tidak setuju.

“Kita hanya lawan politik sahaja. Kini, apabila kita hendak bekerjasama, kita tidak tengok pada perbezaan, tetapi kita lihat pada persamaan,” katanya kepada FMT.

Zahid berkata, persamaan mereka ialah hendak menentang kemungkaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam mentadbir negara.

“Persamaannya adalah Anwar menentang kemungkaran yang dilakukan Najib dan saya juga menentang perkara sama. Kita sama dari segi itu, jadi tidak ada masalah,” katanya.

Zahid lantang mempertahankan Anwar yang dipecat Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad daripada Kabinet dan Umno, pada zaman reformasi 1998.

Kedudukannya sebaris bekas senator, Datuk Ezam Mohd Nor dan bekas setiausaha Angkatan Muda Keadilan, Lokman Noor Adam, sebelum beliau dilantik sebagai naib ketua Angkatan Muda Keadilan.

Zahid bagaimanapun bangkit menentang Anwar kerana kecewa dengan sikap bekas ketua pembangkang itu mempertahankan kumpulan cauvinis Cina dalam dasar pendidikan negara, sebelum menubuhkan Tibai pada 18 April 2012.

Tibai dibubarkan pada 11 Februari 2015, sehari selepas Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun kepada Anwar atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bagaimanapun, pada 12 Mac 2015, Zahid mengumumkan TIBAI diubah nama kepada Tolak Individu Bernama Anwar Bin Ibrahim (TIBABI) dengan alasan kes membabitkan Anwar dianggap belum selesai walaupun dia dipenjarakan.

Zahid yang menyifatkan hubungan beliau dengan Anwar sebagai sejarah lama percaya pengalamannya akan menjadi bekalan untuk beliau menghadapi masa depan lebih mencabar.

“Parti pembangkang di dalam negara belum mempunyai track record menjahanamkan Najib. Mereka hanya melihat tingkah laku Najib dan Barisan Nasional. Peluang harus diberikan.

“Saya yakin mereka tidak akan mengulangi kesilapan Najib dan BN. Seharusnya, rakyat memberi peluang untuk mereka memperbetulkan kesilapan,” katanya.

Zahid turut mengibaratkan kerjasama PPBM dan parti pembangkang lain penting untuk menjatuhkan Najib dan BN.

“Saya umpamakan mengait buah rambutan setinggi 9 kaki, galah yang ada pada parti pembangkang setakat ini hanyalah setakat 7 kaki. Bertengek macam mana sekalipun tidak akan sampai.

“Melengkapkan proses mengait buah rambutan itu adalah PPBM yang mempunyai 3 kaki lagi galah. Kerjasama ini penting,” ujarnya.



Comments
Loading...