PKR tidak tergugat ramai pemimpin Sabah keluar parti – Azmin


81475648782_AzminBandungMayor

(Astro Awani) – Tindakan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin serta beberapa pemimpin lain meninggalkan parti tidak menjejaskan kekuatan parti mahupun barisan pembangkang di negeri berkenaan.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali berkata, beliau menyokong mana-mana pihak yang mempunyai agenda yang sama dengan Pakatan Harapan, iaitu menentang Barisan Nasional (BN).

“Yang penting dia nak lawan BN. Tidak ada masalah. Siapa nak lawan BN, saya sokong. Jadi komitmen Darell Leiking, Lajim Ukin, Shafie Apdal dan beberapa lagi pemimpin sama ada mereka mahu menubuhkan parti baharu atau menyertai parti baharu, asalkan mereka mempunyai kepentingan yang jelas iaitu bagi menentang UMNO dan BN di Sabah, saya akan berikan sokongan penuh,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Walikota Bandung, Mochamad Ridwan Kamil di Pejabat Menteri Besar Selangor, di sini, hari ini.

Ujarnya, beliau turut memahami sentimen landskap politik di Sabah yang lebih mementingkan isu kenegerian.

“Kita melihat senario politik hari ini memang mencabar. Politik Sabah tidak boleh disamakan dengan politik di negeri-negeri lain. Sentimen kenegerian itu amat kuat jadi kita kena memahami dan menyelami perasaan orang Sabah tentang keperluan satu kerajaan yang benar-benar dapat mewakili aspirasi rakyat Sabah,” katanya.

Ahad lalu, Lajim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias mengetuai beberapa pemimpin daripada PKR dan DAP untuk keluar parti berkuatkuasa serta merta.

Turut mengikuti jejak langkah beliau adalah Setiausaha Agung PKR Sabah, Datuk Maijol Mahap, Ketua Wanita PKR Sabah, Johair Matlani dan ADUN Moyog, Terence Siambun.

Selain itu, Setiausaha DAP Sabah dan ADUN Likas, Junz Wong, juga mengumumkan keluar parti.

Keputusan mereka keluar parti itu dibuat selepas mengambil kira hasrat rakyat Sabah yang mahukan parti tempatan untuk menjaga kepentingan mereka.

Terdahulu, pada 22 September, Naib Presiden PKR, Darell Leiking yang juga Ahli Parlimen Penampang, turut letak jawatan bagi menyertai parti tempatan yang sedang diambil alih oleh bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal.



Comments
Loading...