Berikut adalah sedutan kenyataan penuh beliau:

“Portal pro-Mahathir iaitu Sarawak Report telah menulis pada 23 Ogos mengatakan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz; bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed terlibat dalam satu konspirasi untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada jawatan Perdana Menteri supaya Datuk Seri Mukhriz Mahathir maju dalam politik. Ini satu dakwaan yang amat berat sebab perbuatan ini boleh dianggap sebagai high treason dan hukumannya amat berat.

“Jikalau Sarawak Report ini benar, maka ketiga-tiga Tan Sri ini perlu pamerkan arahan bertulis yang mereka terima daripada Yang di-Pertuan Agong kepada semua media perdana sebagai bukti yang mereka hanya mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong dan mereka bertiga langsung tidak terlibat dengan usaha Dr. Mahathir menjatuhkan Perdana Menteri untuk menaikkan Mukhriz.

“Jikalau Zeti, Abdul Gani dan Abu Kassim tidak setuju dengan laporan Sarawak Report maka mereka bertiga perlu membuat penafian dan kemudiannya buat saman fitnah terhadap portal itu dan Dr. Mahathir untuk membersihkan nama baik mereka.

“Jikalau mereka bertiga berdiam diri, maka pihak berkuasa perlu membuat siasatan tentang dakwaan yang dibuat oleh Dr. Mahathir dan Sarawak Report bahawa wujud konspirasi untuk menjatuhkan Najib supaya Mukhriz boleh ambil alih jawatan Perdana Menteri kelak.”

Dr. Mahathir pada Ahad lalu mendakwa, Zeti, Abdul Gani dan Abu Kassim telah dikhianati oleh pihak yang tidak dinamakan identitinya.

Sarawak Report Selasa lalu melaporkan, empat pegawai tinggi agensi penguatkuasaan undang-undang di negara ini telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan memaklumkan kepada Kabinet tentang rancangan mereka meneruskan pendakwaan terhadap Najib.

Sementara itu, Nallakaruppan berkata, Dr. Mahathir seharusnya mematuhi titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar tidak mempersoalkan gagasan bangsa Johor.

Beliau turut mengulangi gesaan kepada Dr. Mahathir agar memberi ruang kepada Najib untuk mentadbir negara ini dengan caranya sendiri, sebagaimana yang dilakukan beliau ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun biarpun berdepan dengan banyak isu integriti.