PRU14: Cadangan satu logo untuk pembangkang – Dr Afif Bahardin


41471460728_DrAfifBahardin

(Astro Awani) – “Dalam politik, kita kena ambil maklum ada sesetengah lambang yang ‘diterima’ oleh masyarakat dengan lebih baik. Contohnya, lambang Keadilan itu tidak terlampau stigma kepada masyarakat

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Dr Afif Bahardin mencadangkan penggunaan satu logo tunggal bagi semua parti Pakatan Harapan yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya, langkah berkenaan bertujuan untuk menunjukkan kesatuan dalam pakatan pembangkang, selain mengelakkan pertandingan tiga penjuru menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Masalah dihadapi oleh Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum pada 2013 adalah berlakunya pertandingan tiga penjuru kerana kita gagal bertanding di bawah satu logo. Jadi satu cara mengatasi masalah ini bertanding menggunakan logo yang sama bagi mewakili pakatan pembangkang.

“Saya ingin mencadangkan kepada parti-parti pembangkang nanti untuk mengambil lambang Keadilan untuk diletakkan di semua kerusi di seluruh negara. Sebelum ini, Parti Sosialis Malaysia (PSM) sudah menggunakan lambang Keadilan untuk bertanding di Sungai Siput dan menang. Kita memperakui itu adalah ahli parlimen PSM tetapi menggunakan lambang Keadilan,” katanya pada Forum Parti Baru = Harapan Baru? di sini, pada Rabu.

Dr Afif mencadangkan penggunaan logo Parti Keadilan sebagai logo tunggal berikutan ia lebih ‘mesra rakyat’ dan jenama yang sudah dikenali ramai.

“Dalam politik, kita kena ambil maklum ada sesetengah lambang yang ‘diterima’ oleh masyarakat dengan lebih baik. Contohnya, lambang Keadilan itu tidak terlampau stigma kepada masyarakat dan telah dikenali lebih 16 tahun. Dengan strategi itu, rakyat akan melihat seluruh negara hanya ada satu lambang bagi menentang lambang dacing.

Kegagalan parti pembangkang memastikan pertandingan satu lawan satu menentang calon BN pada pilihan raya negeri Sarawak lalu menyaksikan kejayaan Tan Sri Adenan Satem membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga.

BN berjaya menguasai 72 daripada 82 kerusi dipertandingkan di negeri berkenaan. DAP hanya menang tujuh daripada 31 kerusi dipertandingi, berbanding 12 kerusi sebelum ini.

PKR pula hanya menang tiga daripada 41 kerusi yang ditandingi. Manakala, PAS dan Parti Amanah Negara gagal mendapat sebarang kerusi.



Comments
Loading...