Sarawak Report ‘bomoh baru dari UK’ yang digunakan untuk menyerang PAS – Nik Abduh


Mahathir-Clare-Brown

(Agenda Daily) – Ingat tak lagi sidang media Tun Mahathir Mohamad sejurus selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin pembangkang baru-baru ini.

Sambil mengumumkan gabungan baru parti pembangkang, Mahathir meminta PAS jangan ‘menyerang’ mereka dan dia akan mengarahkan parti-parti pembangkang lain tidak menyerang PAS.

Rupa-rupanya ada muslihat lain… “bomoh baru dari UK” pulak digunakan untuk menyerang PAS dan semua orang tahu kaitan antara Sarawak Report dan kumpulan Anti-Najib yang diketuai Mahathir.

Tuduhan portal berita upahan itu kononnya PAS menerima RM90juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikecam pemimpin-pemimpin utama parti PAS.

Namun mungkin ada yang tidak sedar kaitan antara Sarawak Report dan Kumpulan Anti-Najib.

Bagi Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Aziz  tuduhan Sarawak Report terhadap parti itu adalah satu lagi usaha untuk menyingkirkan PAS daripada persada politik negara.

Menurutnya pihak berkenaan menggunakan “bomoh baru dari UK” bagi “meniupkan mantera jampi serapahnya” selepas kegagalan pihak tersebut.

“Antara kegagalan ketara peluru mereka sebelum ini ialah usaha mengecilkan PAS sebagai para tok lebai yang meminggirkan golongan profesional dan menjadikan penyingkiran dan pembentukan parti serpihan Amanah sebagai bukti kebenaran hujah mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan.

PAN ditubuhkan September lalu oleh kumpulan profesional dalam PAS, beberapa bulan selepas perpecahan parti Islam itu kemenangan besar golongan konservatif yang dinaungi presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Datuk Haron Din.

Malah katanya, PAS terus mendapat sokongan golongan profesional, selepas kegagalan beberapa pihak menyerang parti itu dalam usaha melabelnya parti “tok lebai”.

“Bahkan PAS turut menerima kehadiran lebih ramai para ilmuan pemegang ijazah tertinggi bagi membantu PAS di semua peringkat terutama pada peringkat pembuat dasar dan polisi parti,” kata Nik Abduh.

Sebelum ini, PAS menafikan dakwaan Sarawak Report yang berpengkalan di UK itu, dan akan mempertimbangkan tindakan undang-undang.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan Sarawak Report itu seharusnya membuka mata rakyat mengenai wajah sebenar portal berita propembangkang itu.

Jelasnya, selain menunjukkan portal tersebut tidak memiliki kredibiliti, fitnah itu juga membuktikan Sarawak Report mempunyai agenda jahat dan sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan negara.

“Kejadian ini diharap mencelikkan mata segelintir rakyat yang selama ini menjadikan Sarawak Report sebagai rujukan apabila mahu berhujah dalam sesuatu isu.

“Sedangkan portal ini tidak ada kredibiliti dan sanggup mengeluarkan berita fitnah seumpama ini demi mencapai agendanya menjatuhkan negara ini,” katanya.

Baru-baru ini, Sarawak Report mendakwa kononnya sebanyak RM90 juta disalurkan oleh Perdana Menteri dalam usaha mempengaruhi pucuk pimpinan PAS supaya tidak menjalinkan kerjasama dengan pakatan pembangkang.

Susulan itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk menyaman portal berita itu.



Comments
Loading...