PAS: Bukan Islam berhak bakar bahan, kami berhak laksana hudud


tuan-ibrahim-colok

(FMT) – PAS hari ini mempersoalkan penentangan beberapa parti bukan Islam terhadap usahanya memperkenalkan hukuman hudud, dengan berkata mereka tidak perlu mencampuri urusan orang Islam seperti mana orang Islam tidak mempersoalkan beberapa amalan mereka.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata undang-undang hudud merupakan hak orang Islam, sambil memberi contoh amalan membakar bahan yang dilakukan sesetengah penganut agama lain.

Katanya, penganut agama lain tidak harus membantah amalan tersebut atas alasan pencemaran alam kerana ia sebahagian agama mereka.

“Bayangkan sekiranya ada perkara sedemikian berlaku, susah tentu keharmonian antara kaum dan agama akan terjejas teruk.

“Perkara yang sama juga dengan orang Islam dan agama Islam,” kata Tuan Ibrahim dalam kenyataannya.

Langkah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah 1965, untuk memberi kuasa kepada mahkamah syariah menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap pesalah Islam, dibantah keras pemimpin beberapa parti komponen Barisan Nasional termasuk MCA dan Gerakan.

Menurut Tuan Ibrahim, langkah PAS itu diambil dalam kerangka undang-undang.

“Ia memenuhi semua prosiding dalam sistem demokrasi yang diamalkan dalam negara ini,” katanya, dan menambah ia bertujuan umat Islam “sentiasa berkelakuan baik dan jangan sesekali berbuat jahat”.

Katanya, pemimpin politik bukan Islam tidak perlu membantah kerana ia tidak melibatkan penganut lain.

“Bayangkan kalau ada parti yang hendakkan kerjasama meletakkan syarat di mana penganut agama lain tidak lagi boleh melakukan pembakaran, termasuk pembakaran mayat kerana kekangan undang-undang alam sekitar, apakah kerjasama itu masih akan wujud?” soal Tuan Ibrahim.

Kerjasama politik PAS-DAP dalam blok pembangkang Pakatan Rakyat tamat tahun lalu selepas DAP membantah usaha memperkenalkan hukum hudud di Kelantan.

Tuan Ibrahim berkata walaupun PAS sedar keperluan kerjasama pembangkang, ia tidak setuju sekiranya kerjasama politik menyekatnya “melaksanakan kewajipan sebagaimana yang dituntut ajaran Islam”.

“Hormatilah kewajipan dan tuntutan agama masing-masing demi keharmonian bersama.”



Comments
Loading...