Siapa Saifuddin mahu beri markah pada Pas?


nasrudin hassan tantawi

(Sinar Harian) – Pas menyifatkan Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah tidak layak menilai perjuangan parti Islam itu.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, Pas telah pun menentang Umno sekian lama, ketika Saifuddin masih mempertahankan parti kerajaan itu lagi.

“Datuk Saifuddin Abdullah bukan orangnya… yang layak untuk menilai bagaimana cara Pas berjuang.

“Semasa beliau hangit mempertahankan Umno dan BN, Pas sudah pun menentang Umno dan BN, malah saya menentangnya sewaktu beliau masa itu tegar dengan ideologi Umnonya,” katanya kepada Sinar Online.

Sebelum ini, Saifuddin dilaporkan berkata, dek kerana pendirian Pas yang menjadi penasihat kepada Umno dan kenyataan pimpinannya yang semakin menjauhkan diri daripada PKR, maka kedudukannya sebagai parti pembangkang menjadi kabur malah kelihatan bersahabat pula dengan Umno.

Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh juga ada membangkitkan persoalan berhubung tindakan Saifuddin dengan berkata, ‘baru sehari dua beliau terbuang dari Umno, beliau nak menilai dan meletak markah pada perjuangan Pas?’

Semalam, selepas proses penamaan calon bagi PRK di Parlimen Sungai Besar, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan bakal berlaku pertandingan tiga penjuru antara BN, Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Sementara untuk PRK di Kuala Kangsar pula bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, Pas, Amanah dan Bebas.

Sebelumnya, PKR yang merupakan rakan tahaluf siyasi Pas di Selangor menjadi perhatian apabila menyatakan sokongan kepada calon Amanah.

Dalam pada itu, Nasrudin berkata, PKR tetap menyokong calon Amanah meskipun parti rakannya itu tahu kedua-dua kerusi Parlimen tersebut milik Pas.

“Malah hari ini kita masuk pilihan raya menentang calon Umno dan BN. Amanah yang datang kacau daun dan PKR pula membuat sokongan kepada Amanah dalam keadaan mereka tahu bahawa kerusi asal yang ditandingi oleh pembangkang ialah kerusi Pas.

“Mereka nak pertahankan tindakan mereka meletak calon kacau daun, akhirnya mereka kata perjuangan Pas kabur,” katanya.

 



Comments
Loading...