PAS set nak lawan di Sungai Besar, Kuala Kangsar… PH jangan letak calon


tuanibrahim_400_260

(Agenda Daily) – PAS memberi amaran kepada gabungan pembangkang Pakatan Harapan supaya tidak meletak calon dalam pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Sebaliknya, parti tersebut akan ‘mengempur’ dua kawasan tersebut habis-habisan dengan alasan itu merupakan kerusi tradisi mereka, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sehubungan itu, PAS ‘tidak mengizinkan’ parti pembangkang lain tidak menurunkan calon mereka dalam pilihanraya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar kosong berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lalu.

Menurut Tuan Ibrahim, tindakan meletakkan calon selain PAS semata-mata untuk menguji sokongan tidak akan memberikan kelebihan, sebaliknya hanya akan menguntungkan BN.

“Sehubungan dengan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang akan diadakan dalam waktu terdekat, diharapkan tiada parti pembangkang lain yang meletakkan calon sekadar untuk menguji sokongan.

“Hal ini kerana, tindakan sedemikian tidak lebih hanya memberi peluang besar bagi BN memenangi PRK ini,” katanya dalam satu kenyataaan Khamis.

Ujar beliau lagi, pemimpin di blok pembangkang perlu sedar pertembungan sesama blok pembangkang hanya akan merealisasikan bidalan “yang kalah jadi abu, menang jadi arang”.

“PAS akan bertempur habis-habisan terhadap UMNO/BN di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Kedua-dua kerusi ini ialah kerusi tradisi PAS, oleh itu PAS telah tegaskan akan meneruskan tradisi dengan meletakkan calon di kedua-dua Parlimen ini.

“Fokus blok pembangkang ialah menumbangkan BN. Kalau ini terus menjadi matlamat penyertaan dalam PRK ini, maka sewajarnya semua pihak berusaha agar BN dapat dikalahkan.

“Sebarang tindakan mana-mana parti pembangkang yang meletakkan calon bermakna mereka memberi tongkat kepada BN,” tegas beliau lagi.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim turut menegaskan komitmen PAS untuk terus menentang BN di Sarawak dan dua PRK akan datang adalah bukti paling kukuh tuduhan PAS hendak bergabung dengan UMNO-BN adalah fitnah semata-mata.

“Fitnah itu berlegaran sehingga hari ini dan dipercayai sengaja disebarkan bagi memecahkan PAS dan membenarkan tindakan menubuhkan parti baru,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) menetakkan kriteria calon bagi kedua-dua pilihanraya kecil tersebut bukan sahaja mesti memiliki ciri-ciri boleh menang, tetapi juga disukai oleh para pengundi.

Pemangku tugas Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, analisis terperinci akan dilakukan untuk menentukan calon-calon berkenaan bagi memastikan BN dapat mempertahankan kedua-dua kerusi itu.

“Tentu kita sukar untuk mencari tokoh yang berkaliber seperti Allahyarham Datuk Wan Khair-il dan Allahyarham Datuk Noriah.

“Tetapi tidak mustahil kalau kita dapat gilap tokoh-tokoh baharu yang akan dicalonkan kelak, kalau tidak lebih hebat, mesti sama hebat dengan kedua-dua tokoh ber­kenaan.

“Kita harus berhati-hati untuk memilih supaya calon itu bukan hanya winnable (boleh menang) tetap juga likeable (disukai), ini harus diberi perhatian,” katanya yang disiarkan Utusan Malaysia Khamis.

Menurut Ahmad Zahid, dalam melakukan persiapan untuk kedua-dua PRK itu, pihaknya tidak akan mengenepikan fakta mengenai kemenangan majoriti tipis 399 undi yang diperoleh di Parlimen Sungai Besar dan 1,082 undi di Kuala Kangsar pada pilihanraya umum Ke-13 (PRU-13).

“Kita tidak boleh ketepikan hakikat bahawa kita harus bekerja tiga kali ganda lebih kuat. Dalam PRU-13 jentera parti peringkat tempatan mengusai semua, sama ada bagi UMNO atau parti lawan, tetapi dalam keadaan sekarang (PRK), parti lawan juga akan gunakan seluruh kekuatan di kedua-dua kawasan Parlimen berkenaan

“Ini tidak mudah dan persiapan harus dibuat bukan hanya sekadar menjanjikan projek-projek pembangunan, tetapi lebih dari itu bagaimana hati dan minda dalam kalangan pengundi dapat ditarik untuk memberi sokongan kepada calon-calon BN,” katanya.

Menurutnya, tidak hanya menangani cabaran luar yang didatangkan oleh parti pembangkang, BN juga perlu bijaksana dalam menangani sebarang permasalahan dalaman agar kekuatan parti di kedua-dua kawasan itu dapat ditingkatkan.

“Saya lebih (memberi tumpuan) ke arah jika ada permasalahan dalaman parti berbanding masalah perpecahan (pakatan pembangkang) di luar sana, apa pun kita harus berada dalam satu wadah yang kukuh untuk elakkan daripada berlaku perpecahan,” katanya,

Tarikh bagi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar bakal diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya Jumaat, susulan kematian dua penyandang di Parlimen itu dalam tragedi helikopter terhempas di Sungai Batang Lupar, Sarawak minggu lalu.



Comments
Loading...