Langkah Azizah untuk sekat pengaruh Azmin dalam PKR…


i967.photobucket.com_albums_ae159_Malaysia-Today_Mug shots_Azmin-WanAzizah_zpsc275a5f0

(Agenda Daily) – Semua sedia maklum pertembungan pengaruh antara Presiden dan Timbalan Presiden PKR.

Ini kerana ‘pagar’ disekeliling Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diketuai tidak ngam dengan ‘pagar’ disekeliling Datuk Seri Azmin Ali.

Pergeseran ini semakin ketara selepas Azmin dilantik Menteri Besar Selangor.

Dua orang kanan Wan Azizah kini ‘hilang’ dari pucuk kepimpinan PKR, antaranya bekas Setiausaha AGung Datuk Saifuddin Nasution yang khabarnya kini banyak masa di Indonesia dan MP Sungai Petani Datuk Johari Abdul.

Tindakan Wan Azizah yang lebih mesra dengan gelaran Kak Wan menubuhkan sebuah jawatankuasa bedah siasat untuk menilai pengendalian proses pilihanraya Sarawak secara terperinci dan menyeluruh dilihat sebagai ‘senjata’ terbaru dalam usaha menghadkan kuasa Azmin dalam PKR.

Panel lima orang terdiri daripada anggota parti yang dipilih oleh Wan Azizah jelas menunjukkan panel ini akan menyiasat dakwaan bekas ahli PKR, Badrul Hisham Shaharin yang mendakwa bahawa Azmin berbohong dalam isu watikah.

Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard pernah mendakwa bahawa Azmin yang juga Menteri Besar Selangor menipu apabila mengatakan ada mandat bertulis dan Wan Azizah kononnya memberinya kuasa untuk menghantar calon beranding sesama Pakatan Harapan.

Sebaliknya jelasnya Presiden PKR itu hanya menghantar pesanan ‘whatsapp’ yang hanya memberi Azmin kuasa untuk berunding mengenai calon dan kerusi bertindih sahaja.

Tindakan ini disifatkannya sebagai cubaan Azmin untuk membuka ruang kepada PAS untuk terus selesa sebagai pembangkang.

Susulan dakwaan Chegubard, Rafizi Ramli, Setiausaha Agung PKR berkata bahawa PKR akan memperhalusi dakwaan tersebut selepas PRN Sarawak.

Untuk rekod, Wan Azizah selaku presiden parti tidak menafikan dakwaan tersebut sehingga hari ini.

Namun, tindakan menubuhkan jawatankuasa baru ini dengan lima panel anggota parti yang dikatakan tidak sehaluan dengan Azmin, boleh dikatakan sebagai satu cubaan mengekang kuasa Ahli Parlimen Gombak itu.

Antara lima panel yang dilantik adalah bekas Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali sebagai presiden jawatankuasa tersebut, diikuti bekas pengerusi PKR negeri Perak Dr Muhammad Noor Manuty, bekas bendahari agung William Leong, bekas setiausaha agung Saifuddin Nasution dan Datuk Seri Lajim Ukin.

Semua yang dilantik merupakan ‘orang-orang presiden’ dan sudah tentu tidak digemari Azmin.

Melihat pembabitkan begitu ramai muka lama ini, sudah pasti move sebenar dibelakang penubuhan panel ini adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, Wan Azizah berkata pasukan ini mendapat mandat sepenuh daripada beliau sendiri dan parti untuk menyiapkan laporan post mortem.

“Dapatan dan saranan menambahbaik lagi pengendalian proses pilihanraya akan dibentangkan kepada Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat dalam tempoh selewat-lewatnya tiga minggu dari sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

“Saya juga telah sempat berbincang pendek dengan Lim Guan Eng, (Setiausaha Agung DAP) dan Mohamad Sabu (Presiden Amanah) mengenai perkara ini dari perspektif PH(Pakatan Harapan).

“Saya berdoa bedah siasat yang ikhlas dan tepat akan memberikan kebaikan kepada parti dan meningkatkan keyakinan anggota parti dan rakyat seluruhnya,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, PKR dan DAP bertanding sesama sendiri di enam kerusi DUN pada PRN Sarawak selepas gagal mencapai kata sepakat.

 



Comments
Loading...