DAP sedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk Dr Mahathir dan Pas


Nga Kor Ming

(Sinar Harian) – Semua parti pembangkang di negara ini perlu kembali ke meja rundingan bagi meneruskan kerjasama untuk meneruskan agenda reformasi untuk negara.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, DAP sedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pas demi menyelamatkan Malaysia dari sebarang skandal yang kini menjadi perhatian dunia.

Katanya, pembangkang perlu bersatu dalam usaha membentuk satu kerajaan yang berintegriti, amanah serta bersih.

“Untuk mencapai tujuan itu, semua parti pembangkang perlu kembali ke meja rundingan, bekerjasama dan patuhi perjanjian yang telah dimeterai. Semangat setiakawan perlu dijunjung dan agenda reformasi perlu didokong.

“Demi rakyat, semua pemimpin perlu mengetepikan ego masing-masing dan saling hormat-menghormati,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.

Kor Ming berkata, individu di dalam parti-parti pembangkang perlu mengenepikan agenda parti masing-masing sebaliknya memberi keutamaan kepada agenda bersama yang telah dipersetujui.

“DAP Perak sedia mendengar dan berunding dengan semua pihak jika ia selaras dengan perjuangan Pakatan Harapan untuk Malaysia yang adil, telus, amanah dan berintegriti.

“Kita perlu bersama kerana kepentingan rakyat adalah keutamaan kita,” katanya.

 



Comments
Loading...