Ahli MT dedah Muhyiddin bersetuju dengan penubuhan 1MDB pada 2009


Mohd-Puad-Zarkashi

(The Malaysian Mirror) – Seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Mohd. Puad Zarkashi menyelar tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berterusan menyerang kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu syarikat pelaburan kontroversi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Puad berkata timbalan presiden Umno yang digantung tersebut juga terlibat dalam keputusan meluluskan penubuhan 1MDB pada 2009 dengan pinjaman bernilai RM5 bilion.

“Muhyiddin mungkin terlupa bahawa beliau merupakan anggota Jemaah Menteri yang meluluskan penubuhan 1MDB pada tahun 2009 dan jaminan kerajaan untuk pinjaman Islamic Medium Term Notes sehingga RM5 bilion pada 1 April 2009.

“Muhyiddin juga lupa beliau merupakan antara anggota Dewan Rakyat yang meluluskan peranan 1MDB bagi menarik pelaburan asing dari Asia Barat, China dan India seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2010 pada 23 Oktober 2009,” kata Puad dalam satu kenyataan media.

Puad juga membidas Muhyiddin yang berterusan mempertikai berhubung laporan Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) walaupun nama Najib sudah dibersihkan.

“Muhyiddin mungkin sudah lupa bahawa siasatan audit forensik oleh Jabatan Audit Negara merupakan susulan daripada keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mac 2015 yang memutuskan supaya jabatan ini mengesahkan akaun 1MDB dan laporan berkenaan perlu diserahkan kepada PAC untuk siasatan susulan.

“Keputusan ini merupakan bukti komitmen, keberanian dan keikhlasan Perdana Menteri untuk memastikan isu 1MDB disiasat secara telus dan tidak berpihak,” katanya.

Laporan PAC berhubung 1MDB dikeluarkan semasa sidang Dewan Rakyat yang berakhir 7 April lalu, ia mendedahkan kepincangan dalam syarikat yang diterajui oleh Najib sendiri sebagai penasihat syarikat tersebut.

Laporan tersebut bagaimanapun membersihkan nama Najib daripada sebarang salah laku dan hanya mencadangkan satu siasatan lanjut ke atas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral.

Muhyiddin yang juga dibuang Kabinet pada Julai tahun lepas kerana kelantangan mengkritik 1MDB tidak berpuas hati dengan laporan tersebut dan berterusan mempersoalkan salah urus tadbir membabitkan syarikat tersebut.

Laporan PAC yang dibentang tersebut menerima banyak kritikan kerana tidak dibentang sekali dengan Laporan Ketua Audit Negara yang diletak bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) walaupun pada awalnya dijanjikan ketelusan berhubung siasatan yang dijalankan.

Menurut Puad, amat menghairankan apabila tiba-tiba sahaja Muhyiddin mempunyai 17 hujah berhubung firma pelaburan strategik kerajaan itu sedangkan sebelum ini, beliau sering mendakwa tiada maklumat dan tidak faham mengenai 1MDB melainkan selepas membaca The Edge dan pelbagai alasan lagi.

“17 hujah itu serupa dengan soalan lazim Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang telah dijawab berkali-kali oleh 1MDB. Tony Pua adalah anggota PAC dan perlu diingatkan bahawa laporan PAC telah diterima secara konsensus oleh setiap anggotanya yang terdiri daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) serta pembangkang.

“Timbalan Pengerusi PAC, Tan Seng Giaw yang juga merupakan Ahli Parlimen DAP telah menyindir Tony Pua dan mengesahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak bersalah kerana RM2.6 bilion bukan daripada 1MDB dan RM42 bilion tidak lesap seperti dakwaan Muhyiddin bersama sekutunya, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya.

 



Comments
Loading...