Hudud tidak beri kesan kepada bukan Islam – Mahkamah Persekutuan


hudud_gerakan_300-300x170

(Agenda Daily) – Parti Gerakan gagal untuk memulakan petisyen mencabar undang-undang hudud di Kelantan di sisi Perlembagaan, selepas Mahkamah Persekutuan menolak hasrat parti tersebut.

Dalam keputusan mahkamah tertinggi Malaysia Hakim Datuk Zaharah Ibrahim membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Jelasnya undang-undang hudud hanya kepada mereka yang beragama Islam bagaimanapun tidak dinyatakan bahawa mereka (pemohon) adalah Muslim.

Menurutnya lagi, mahkamah juga tidak menemui sebarang keterangan yang menunjukkan undang-undang itu akan memberi kesan kepada mereka.

“Oleh itu, usul itu ditolak dengan tiada perintah tentang kos,” katanya.

Gerakan diwakili peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, Lim Choon Kim dan David Yii Hee Kiet.

Kerajaan Negeri Kelantan diwakili Datuk Sulaiman Abdullah, Datuk Takiyuddin Hassan dan Shahidani Abd Aziz.

Tiga anggota Gerakan iaitu Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee dan Chung Mon Sie memfailkan notis usul pada 8 Mei lalu bagi memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihanKanun Jenayah Syariah (11) Kelantan1993 (Pindaan 2015) atau lebih dikenali sebagai hudud, di sisi Perlembagaan.

Dalam notis usul itu, mereka mendakwa Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang bagi menghukum perbuatan jenayah, yang boleh dihukum mengikut undang-undang Persekutuan.

Mereka mendakwa keputusan Dun meluluskan pindaan itu adalah tidak sah dan batal dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 7 Mei, Mahkamah Tinggi menolak saman pemula mereka untuk mencabar Kanun Jenayah Syariah Kelantan di sisi perlembagaan, yang telah  dipinda dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 19 Mac tahun ini untuk memasukkan undang-undang bagi menghukum perbuatan jenayah seperti curi, rompak dan rogol yang telahpun tersenarai dalam Senarai Undang-undang Persekutuan dan boleh dihukum di bawah undang-undang Persekutuan.

 



Comments
Loading...