Waspada kenyataan duta China, kata Noor Farida


Noor Farida Ariffin

(The Malaysian Insider) – Bekas duta Malaysia ke Netherland, Datuk Noor Farida Ariffin menganggap kenyataan Duta Besar China Dr Huang Huikang yang dibuat di Jalan Petaling pada 25 September lalu satu campur tangan terang-terangan dalam hal ehwal negara.

Jurucakap kumpulan tokoh Melayu bekas pegawai tinggi kerajaan atau G25 itu berkata, kenyataan Huang yang beliau hanya ingin melihat keharmonian kaum di Malaysia dikekalkan, perlu dilihat dengan penuh waspada.

“Saya rasa semua orang mahu melihat keharmonian kaum dikekalkan di negara ini, terutamanya rakan dagangan kita seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Kesatuan Eropah dan India.

“Namun anda tidak melihat duta mereka berjalan-jalan di Jalan Petaling atas nama mengekalkan keharmonian kaum. Tindakan duta tersebut mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan,” kataya kepada The Malaysian Insider.

Katanya, pandangan beliau itu berasas susulan tindak-tanduk negara China di kawasan Laut China Selatan yang dianggap meragukan.

“Kita ada sebab untuk risau apabila mengambil kira tindakan China di Laut China Selatan. Mereka guna taktik membuli terhadap negara jiran seperti Filipina dan Vietnam dalam pertelingkahan di sana.

“Tambahan lagi, mereka menduduki dan melakukan kerja penambakan haram di 7 kawasan di Laut China Selatan seawal 2014. Ini mencetuskan ketegangan serantau,” kata Farida.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...