Isu IMDB: Speaker Dewan Rakyat ingatkan Tony Pua jangan ‘over’ sangat


pandikar-amin-mulia

(Agenda Daily) – Ahli-ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang melanggar ketertiban sama ada yang termaktub dalam Peraturan Mesyuarat atau tata tertib budaya parlimen boleh dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Ini kerana mereka dilantik oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat melalui suatu usul yang dibawah oleh seorang menteri.

Menurut Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, atas sebab itu, selain daripada perletakan jawatan, sesaorang ahli boleh diberhentikan dari menjadi ahli dan menamakan seorang ahli yang lain sebagai pengganti.

Malah katanya, jika didapati sesaorang ahli mana-mana Jawatankuasa Pilihan seperti PAC, melanggar ketertiban samada yang termaktub dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat, Duluan (precedent) atau tertib-budaya parlimen (Parliamentary Convention), ahli yang berkenaan boleh diambil tindakan.

“Tindakan boleh diambil oleh Majlis Mesyuarat dengan merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” katanya kepada BNBBC.my, Isnin.

Pandikar Amin berkata, sebagai contoh, mendedahkan isi kandungan dokumen-dokumen yang ada kaitan dengan sesuatu penyiasatan yang belum secara formal atau rasmi dibentangkan di Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat melalui penyata adalah merupakan kesalahan atau menghina Majlis (contempt of the house).

“Sesaorang ahli yang didapati bersalah dibawah bab ini boleh di gantung keahliannya oleh Majlis,” katanya mengulas desakan beberapa pihak supaya Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua yang juga ahli PAC tidak terbabit dalam siasatan 1MDB kerana banyak kenyataannya menentang syarikat kerajaan itu.

Selain peguam kanan Tan Sri Shafee Abdullah berpendapat, Pua tidak boleh berlaku dalam siasatan 1MDB, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad juga mahu Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamad menilai peranan Pua dalam PAC ketika siasatan terhadap 1MDB.

“Dalam hal Tony Pua, saya fikir beliau perlu berhati hati dalam menjalankan tugasnya sebagai ahli PAC yang kini sedang menyiasat 1MDB,”.

“Beliau harus fokus kepada membantu PAC untuk mendapatkan maklumat yang releven dan wajar untuk dijadikan bahan dalam penyata PAC yang kelak dibentangkan di Majlis Mesyuarat untuk tindakan sewajarnya dan tidak lebih dari itu,” tegas Pandikar Amin.

Untuk rekod, ahli-ahli PAC dilantik di bawah Peraturan Mesyuarat atau PM 77 Majlis Mesyuarat-mesyuarat Dewan Rakyat.

 



Comments
Loading...