Trend PAS kawasan… calonkan Hadi, tolak Mat Sabu, Husam


hadi-matsabu1x_400_260

(Agenda Daily) – “Melalui undian hari ini, semua ahli mahukan Hadi kekal sebagai Presiden.”

Tinggal dua minggu lagi untuk semua PAS kawasan seluruh Malaysia bermesyuarat dan membuat pencalonan bagi jawatan-jawatan utama parti tersebut, trendnya kini, golongan ulama kembali menguasai parti dari peringkat akar umbi.

PAS Putrajaya misalnya sebulat suara memberi sokongan kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk terus mengekalkan jawatan sebagai Presiden parti itu.

Pencalonan Abdul Hadi dibuat dalam Mesyuarat Agung PAS kawasan tersebut yang dirasmikan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pada Ahad.

Dalam mesyuarat agung itu juga, semua perwakilan secara sebulat suara mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Timbalan Presiden.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, mereka memilih Nasrudin Hasan, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Idris Ahmad.

Pada masa sama, dalam mesyuarat kali ke-11 itu turut menyaksikan Yang Dipertua PAS kawasan Putrajaya, Kamaruzaman Mohamad mengekalkan jawatannya tanpa sebarang pertandingan untuk penggal kali ini.

Kepimpinan ulama terus mendapat sokongan untuk memimpin apabila PAS Kawasan Kota Raja turut sebulat suara mahukan Abdul Hadi kekal memegang jawatan tersebut.

Yang Dipertuanya, Jaafar Samsudin berkata, perwakilan mahukan Abdul Hadi kekal kerana kredibiliti dan pengalamannya yang banyak dilihat mampu menjadi kekuatan utama PAS dalam memperjuangkan semangat parti.

“Melalui undian hari ini, semua ahli mahukan Hadi kekal sebagai Presiden.

“Ramai ahli yang mahukan jawatan tertinggi PAS dimonopoli oleh golongan ulama,” katanya selepas tamat mesyuarat Agung PAS Kawasan Kota Raja di Dewan Hamzah Klang Ahad.

Jaafar bagaimanapun berkata, bagi jawatan Timbalan Presiden, PAS Kawasan Kota Raja bersetuju mencalonkan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk bertanding menentang penyandang sekarang, Mohamad Sabu.

Katanya, Mohamad Sabu atau Mat Sabu ditolak kerana bukan daripada kalangan ulama.

“Untuk jawatan Naib Presiden, ahli PAS Kota Raja sebulat suara memilih Mahfuz Omar, Sallahudin Ayub dan Dr. Mariah Mahmud,” jelasnya.



Comments
Loading...