Jangan derhaka kepada Sultan, kata BN kepada Azmin


Mat Nadzari Ahmad Dahlan

(The Malaysian Insider) – Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini mendakwa Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berbohong apabila menimbulkan isu perebutan aset tanah dalam penstrukturan air Selangor, yang sebahagiannya berada di Wilayah Persekutuan.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, Azmin sengaja melengahkan kemajuan yang ingin dibawa Putrajaya dan mempunyai agenda peribadi seolah-olah sengaja mahu menderhaka kepada Sultan.

“Pembohongan Menteri Besar itu besar. Kerajaan negeri mahu berebutkan harta dan aset Wilayah Persekutuan dan sengaja melengahkan kemajuan yang ingin dibawa kerajaan persekutuan. Ini menjadi tanda tanya kepada kami.

“Adakah Menteri Besar mempunyai agenda peribadi yang sengaja mahu derhaka kepada Sultan Selangor dengan mengingkari sumpah yang dibuat?” soalnya pada sidang media di lobi Dewan Annexe di Shah Alam, hari ini.

Ahli DUN (Adun) BN-Batang Kali itu mendakwa, Azmin mula lupa dan ingkar dengan lafaz sumpahnya pada 23 September 2014, selepas kira-kira enam bulan lalu.

Nadzari berkata, antara isu yang menzalimi rakyat di bawah pentadbiran Azmin ialah penganiayaan terhadap penduduk Datum Jelatek, Lebuh Raya Bertingkat Kinrara-Damansara (Kidex), isu air yang masih tidak selesai, selain Langkah Kajang angkara Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pelbagai penganiayaan kepada rakyat menjadi satu kezaliman yang jelas, khususnya sejak September lalu.

“Saya seru Menteri Besar segera insaf atas salah laku beliau dan menyahut titah Sultan kelmarin yang mahukan tumpuan diberi kepada soal pembangunan dan cabaran masa depan bagi merealisasikan aspirasi rakyat.

“Saya seru Menteri Besar jangan derhaka dengan lafaz yang dibuat dahulu, dan jangan derhaka kepada Sultan. Tunaikan amanah dipikul. Kasihani, dan jangan aniaya.”

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...