Empati yang hilang


2014-2015

Tahun 2014 kita tinggalkan dengan pelbagai pencapaian dan tidak kurang juga dengan kegagalan. Pencapaian harus di raikan dengan menambahbaik perancangan untuk 2015 dan kegagalan harus di jadikan sebagai pengajaran supaya tidak di ulang kesilapanya.

Jika kita renung dan perhatikan tahun 2014 penuh dengan pergolakan yang mengoncang perpaduan antara kumpulan etnik di negara ini. Rata-rata pemimpin masyarakat dilihat memperjuangkan kepentingan kumpulan etnik masing-masing kerana boleh di katakan semua kumpulan etnik merasakan mereka adalah kumpulan yang terpinggir. Mereka merasa bahawa mereka terpinggir dari segi ekonomi, tertindas dari sudut kebebasan beragama dan di kekang dari sudut hak untuk bersuara.

Perpaduan seperti sesuatu yang hanya wujud pada ketika dan keadaan sahaja, tatkala kita bersorak menyokong pasukan bola negara, melihat Nicol David berjuang di lapangan squash, bersama memilih barangan jualan murah di pusat membeli belah, bermain di pusat rekreasi atau taman tema atau makan di bawah satu bumbung di kedai mamak atau nasik kandar.

Semangat bersepadu menyokong wujud pada saat dan ketika itu sahaja dan setelah selesai aktiviti tersebut maka berbodong-bodong lah kita pulang ke pangkuan komunal masing-masing dan secara langsung kembali ke keadaan sediakala yang penuh rasa ketidakpuasan malah kebencian yang ada.

Malah perpaduan tampak wujud ketika negara menghadapi bencana. Di saat MH 370 hilang , MH 17 di tembak jatuh di Ukraine dan tragedi banjir yang sedang berlaku kini yang membawa semua lapisan masyarakat untuk keluar menghulurkan bantuan samada bantuan moral atau pun bantuan wang ringgit dan tenaga sukarela.

Sekali lagi pada saat dan ketika ini semua nampak bersatu hati tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik sama-sama cuba sedaya mampu untuk membantu. Yang pasti setelah semuanya kembali kepada sediakala, kita juga akan kembali kepada perasaan ketidakpuasan dan kebencian.

Jika kita merenung kembali tatkala negara kita di dalam darurat, perkara yang sama juga berlaku di mana kita semua bersama-sama bersatupadu melindung antara satu sama lain daripada kekejaman Jepun dan Komunis. Setelah Jepun dan Komunis di kalahkan, kita bersama-sama berjuang untuk memerdekakan negara ini dari British.

Agaknya apakah rahsia perpaduan perjuangan kemerdekaan ketika itu yang mana semua bangsa bersatu di dalam matlamat yang sama untuk memerdekakan negara ini ? Kita sama-sama mencorak intipati dan kandungan perlembagaan negara yang secara nyata dan jelas memberi hak kepada semua bangsa demi negara bangsa Malaysia merdeka. Perlembagaan yang menjadi panduan kepada negara semenjak merdeka sehingga sekarang masih utuh dan padu kerana penghasilanya berlandaskan empati dan bukan simpati.

Penghasilan perlembagaan negara tidak berlandaskan simpati kepada bangsa Melayu yang berjuang bermati matian untuk merdeka atau simpati kepada bangsa Cina dan India yang tiada kerakyatan setelah di bawa secara paksa dari negara asal sebelum merdeka tetapi ia adalah kerana empati.

Semua bangsa berjuang dengan berlandaskan empati di mana hak dan kepentingan semua etnik di ambil kira secara holistik. Sifat kefahaman yang tinggi terhadap kehendak dan keperluan semua pihak yang merangkumi isu-isu sensitif seperti agama dan budaya. Mereka memahami keperluan dari kedua-dua sudut dan menilai apa yang di perlu di pertahankan dan apa yang perlu dilepaskan. Maka terhasilah persetujuan terhadap perlembagan persekutuan yang memasukkan semua hak orang Melayu dan keperluan semua etnik lain di dalamnya demi mewujudkan negara bangsa.

Sifat empati yang tinggi dari bukan Melayu terhadap hak bangsa Melayu sebagai rakyat di bawah naungan Raja Melayu sebelum merdeka yang mempunyai hak yang khusus, dimana mereka sedar mereka yang dibawa oleh British datang dan menetap di Tanah Melayu bukan rakyat di bawah naungan Raja Melayu, oleh demikian mereka tidak dapat menikmati hak yang ada pada orang Melayu ketika itu.

Atas kefahaman empati juga orang bukan Melayu di Semenanjung pada ketika itu bukanlah warga negara ataupun rakyat di bawah naungan Raja Melayu dan mereka hanya berpeluang untuk memohon kewarganegaraan apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1 Feb 1948.

Tatkala British mula merancang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara bangsa, menjelang tahun 1957, Perlembagaan Persekutuan digubal maka perkara-perkara tersebut dimasukkan sebagai intipati perlembagaan.

Justeru, rakyat khususnya kaum-kaum lain dengan semangat empati sama-sama menghormati hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan kerana pada ketika ia digubal dahulu, bangsa Melayu juga bersetuju dengan perkara-perkara yang dimasukkan dalam Perlembagaan tersebut, termasuk kewarganegaraan untuk bukan Melayu; hak mempelajari dan menggunakan bahasa mereka untuk tujuan-tujuan bukan rasmi; dan hak untuk mengamalkan ugama masing-masing.

Perlembagaan telah dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian pada tahun 1956, Perlembagaan itu kemudian berkuatkuasa apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Maka dengan pendekatan empati Melayu dan bukan Melayu, Perkara 153 Perlembagaan Malaysia yang memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Borneo (Sabah dan Sarawak) serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini di wartakan.

Dengan semangat empati untuk mencari ekuilibrium atau keseimbangan juga menjelaskan kenapa  perlembagaan persekutuan perlu mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera dengan menetapkan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, pemberian permit dan lesen perniagaan.

Ketika itu semua pihak melihat dari lensa empati tulen yang memikirkan keperluan kearah keseimbangan keperluan semua pihak dan negara bangsa.

Tetapi sejak 2014 kebelakangan kini terdapat pihak-pihak yang mempersoalkan perlembagaan negara terutama Artikel 153 adalah kerana masyarakat pada masa kini sudah hilang sifat empati.

Ramai yang tidak mahu melihat perlembagaan dari sudut empati akan jahil tentang apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan, apa yang boleh di bincangkan dan apa yang tidak perlu di bahaskan lagi mengenai perlembagaan kerana apa yang penting undang-undang yang sedia ada telah diguna pakai sejak dulu dan sudah di persetujui bersama.

Panggilan terhadap pindaan perlembagaan yang tidak berlandaskan empati akan mencorak jalan kemusnahan negara bangsa. Malah kenyataan menggesa kerajaan agar memansuhkan Artikel 153 juga memperlihat dengan jelas empati yang hilang.

Empati hilang bukan sahaja dalam perkara yang serius seperti hak dan tanggungjawab sebagai rakyat malah juga dalam kehidupan harian. Hal-hal hubungan kekeluargaan yang mana nilai murni semakin terhakis dengan peristiwa seperti penderaan anak, keganasaan rumah tangga dan kadar penceraian yang tinggi mengakibat keruntuhan institusi kekeluargaan yang menjadi asas kekuatan masyarakat dan bangsa.

Empati di kalangan jiran tetangga dan masyarakat setempat menjadi luntur akibat fahaman politik, kepentingan ekonomi, semangat komunal yang tinggi dan kepentingan diri. Ia mengakibatkan wujudnya perasaan kendiri yang memupuk semangat tidak ambil tahu dan ambil peduli hal orang lain.

Hak dan tanggungjawab terhadap undang-undang seperti undang-undang jalanraya amat menyedihkan ketika ini kerana rata-rata dapat kita lihat pengguna jalanraya tidak mengindahkan langsung hak pengguna lain. Tiada empati di jalanraya kita kerana pengguna hanya takut pada penguatkuasa sahaja. Tiada rasa hormat mengikut hieraki siapa yang lebih besar sepatutnya memberi laluan kepada yang lebih kecil seperti pemandu kenderaan berat memberi laluan kepada kenderaan kecil seperti kereta dan motosikal. Pejalan kaki dan yang berbasikal perlu di beri keutamaan di jalanraya.

Sifat tidak bertanggungjawab terhadap alam telah mengakibatkan bencana alam yang dahsyat di negara ini seperti tanah runtuh di Cameron Highland dan gejala hakisan tanah akibat pembalakan tanpa batasan. Oleh kerana tiada sifat empati juga banjir melanda negara akibat kerakusan pembangunan yang tidak terkawal yang memusnahkan alam semulajadi. Kemarau panjang yang berlaku juga adalah kerana ketidak perihatinan pembangunan di kawasan tadahan air yang merosakkan sistem ekologi. Kita hilang pertimbangan untuk memahami bahawa kita dan alamsekitar perlu wujud seiringan dan keseimbangan di dalam kepelbagaian.

Empati pemimpin kepada rakyat terhakis apabila kepentingan politik mendahului segalanya. Kerosakkan kepada negara akibat sifat tamak dan gila kuasa menyebabkan hak rakyat di nodai dan memporak perandakan negara bangsa. Kegilaan individu dan kumpulan yang bergerak secara komunal memecahbelahkan rakyat bukan sekadar dari sudut politik malah juga kepada kumpulan-kumpulan kecil berbentuk ideologi yang ekstrim.

Empati mengikut Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa bererti daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain. Sifat melihat keperluan dan kepentingan dari kedua-dua pihak adalah perlu kerana ia akan membuka minda kearah penyelesaian holistik yang tidak individualistik atau komunalistik. Marilah kita kembali kepada roh pewujudan perlembagaan negara yang mana suatu keseimbangan perlu di cari tentang hak dan tanggungjawab kita kepada negara.

Marilah kita menjadikan empati sebagai budaya hidup negara bangsa Malaysia pada tahun 2015.

 

Raflly Nann

Ketua Pegawai Eksekutif

Yayasan 1 Malaysia



Comments
Loading...