‘Selesaikan segera masalah air’


Air melaka

(Sinar Harian) – Kira-kira 50,000 penduduk beberapa kawasan dalam daerah ini yang mengalami gangguan bekalan air sejak lebih seminggu lalu, tertekan ekoran masalah itu masih belum dapat diatasi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

Mereka mahu tindakan segera diambil supaya dapat menjalani kehidupan lebih selesa, apatah lagi pada bulan puasa dan menjelang Aidilfitri.

Kawasan yang terjejas adalah sekitar Sungai Rambai, Merlimau dan Serkam.

Penduduk, Rosmah Madon, 60, yang bekerja sebagai petugas pembersihan di Pusat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Rambai berkata, sejak lebih seminggu lalu masalah itu masih tidak berubah.

“Susah sangat kita nak guna air banyak di dalam bulan puasa ini. Kita nak masak, nak basuh apa-apa pun kena guna air mineral apatah air yang dibekalkan berasa masam dan ada kalanya masin, payau tidak tentu rasa.

“Sampai pengunjung hendak buang air di R&R di sini pun tiada air. Susah kami macam ini kena angkat air dari luar. Ada pun bekalan air oleh lori tangki mereka datang tidak tentu masa,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Saomah Hamid, 62, berkata, dia bimbang sekiranya masalah itu berterusan sehingga Aidilfitri nanti.

“Sejak dari semalam rumah saya tiada bekalan air dan masalah ini sudah dialami sejak lebih seminggu lalu.

“Susah kami macam ni, nak dapat bekalan air dari lori tangki pun susah sebab datang tidak tentu masa sampai nak mandi pun susah,” katanya.

Sementara itu, Adun Sungai Rambai, Datuk Hasan Abdul Rahman yang turut dukacita dengan masalah itu turut berharap masalah itu selesai dalam masa terdekat ini.

“Kalau masalah ini berlarutan kita bimbang rakyat akan marah disebabkan hak mereka sebagai pengguna air tidak dapat ditunaikan. Saya percaya mesti ada kaedah jangka pendek dan jangka pendek oleh SAMB.

“Walaupun ia berpunca daripada pencemaran oleh industri yang berhampiran di kawasan Sungai Kesang dan Sungai Rambai, ia dikatakan berpunca dari bahan buangan ataupun longgokan reputan pokok-pokok ditanam di dalam bumi sehingga menghasilkan air berasid.

“Ia seterusnya mengalir ke Loji Lanchang di mana menjadi tempat kita merawat dan memproses air. Justeru ia tidak dapat beroperasi kerana air ini telah tercemar,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak lebih 3,000 botol air mineral telah diagihkan kepada penduduk terlibat oleh Jawatankuasa Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Rambai sejak isu air berkenaan melanda.

“Meskipun pihak SAMB bertindak mengikut SOP bila berdepan isu berkenaan dengan menghantar tangki-tangki statik namun berharap ia dapat dipantau agar semua penduduk dapat menerima bekalan secara berterusan sehingga masalah ini selesai.

“Harapan saya lori tangki yang digunakan untuk menghantar air juga mencukupi serta air yang dibekalkan berkenaan selamat untuk digunakan.

“Saya juga ingin mencadangkan agar SAMB mempertimbangkan rebat kepada penduduk yang terjejas dengan masalah ini,” katanya.

 



Comments
Loading...