Gabung Suara Sokongan Pembabitan Sultan Johor Dalam LPHJ


Johor Sultan

(Bernama) – Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (GABUNG) menyuarakan sokongan penuh pembabitan Sultan menerusi enakmen baharu bagi penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ).

Bendaharinya, Zaini Atan berkata, ini adalah penting untuk mengimbangi pembangunan hartanah dan kemajuan perumahan di negeri ini.

“Sultan perlu diberi ruang untuk memastikan Johor berkembang pesat dengan seimbang kerana jika dilihat pembangunan yang ada kini didakwa banyak meminggirkan orang Melayu daripada tinggal dalam kawasan bandar,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Rakyat berpendapatan rendah tidak mampu beli rumah berharga tinggi yang banyak dibangunkan di negeri ini, katanya.

“Orang ramai seharusnya ingat semula dengan perkenan Tuanku yang mengizinkan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Stulang dahulu sehingga orang yang kurang berkemampuan di bandar raya ini mampu memiliki kediaman sendiri,” katanya.

GABUNG menggesa pemimpin dari luar Johor tidak terlalu beremosi dan terpengaruh dengan dakyah pembangkang lalu menghentam rang undang-undang baharu itu.

Di Dewan Undangan Negeri hari ini, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang akan dibentangkan Isnin akan terdapat pindaan fasal khususnya peruntukan yang menyentuh peranan raja.



Comments
Loading...