Hudud


hudud-m23-Apr1-600x3501

Maka berhimpunlah pemimpin atasan Parti Bintang memerah otak mencari formula untuk mengalahkan Parti Keris

Ramli Kamri, Free Malaysia Today

Sepanjang pilihan raya umum itu Parti Bintang hampir kalah. Parti Keris giat berkempen menggunakan jentera kerajaan dan wang ringgit membeli undi. Banyak duit ditabur sepanjang dua minggu berkempen.

Maka berhimpunlah pemimpin atasan Parti Bintang memerah otak mencari formula untuk mengalahkan Parti Keris. Seorang ahli majlis tertinggi mencadangkan supaya Parti Bintang menggunakan isu hudud untuk menarik undi majoriti orang Islam.

Cadangan itu diterima sebulat suara oleh pucuk pimpinan Parti Bintang. Menjelang seminggu lagi hari pembuangan undi, setiap hari dan malam para pemimpin parti itu berjanji jika Parti Bintang menang, maka mereka akan laksanakan hukum hudud di negeri itu.

Orang Islam yang fanatik bila mendengar janji pemimpin Parti Bintang itu bertakbir. Maka tumbanglah kerajaan negeri yang dipimpin oleh Parti Keris selama ini. Maka Tok Guru dilantik sebagai menteri besar yang baru memimpin kerajaan Parti Bintang.

Hanya sebuah negeri yang dimenangi Parti Bintang. Maka cita-cita untuk laksanakan hukum hudud di negara itu tidak jadi kenyataan. Dalam pada itu Perdana Menteri beri amaran jika negeri itu laksanakan hukum hudud yang bertentangan dengan perlembagaan negara, maka tindakan Mageran akan diambil ke atas negeri itu.

Tok Guru kecut dengar amaran Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri. Maka hasrat Parti Bintang melaksanakan hukum hudud tidak jadi kenyataan. Lima tahun sudah berlalu, janji laksanakan hukum hudud hanya tinggal janji.

“YAB, macam mana kita nak hadapi PRU ini kerana kita gagal laksanakan janji?” soal timbalan menteri besar kepada Tok Guru.

“Kita jawablah bukan kita tak nak buat hudud tetapi ada kekangan dari kerajaan pusat,” kata Tok Guru.

“Kalau kita hanya menang di peringkat negeri, susah tak boleh buat apa mengenai hudud ini. Kita kena menang di peringkat pusat. Tapi kita tanding tak banyak kerusi. Tak sampai 100 pun sedangkan di negara kita ada 200 kerusi parlimen,” kata seorang Exco yang turut berada di rumah Tok Guru.

“Kalau begitu kita kena gabung dengan parti yang dapat sokongan orang Cina,” cadang timbalan menteri besar.

“Soalnya mereka hendak tak hudud bila kita memerintah negara?” soal Tok Guru.

“Itu serah kepada kami buat penjelasan kepada Parti Kapal Terbang,” jawab timbalan menteri besar.

Maka rundingan di antara Parti Bintang dan Parti Kapal Terbang pun berjalan. Mereka bersetuju untuk bergabung melawan isu-isu rasuah, penyewelengan dan ketidakadilan yang dibuat oleh Parti Keris.

Parti Keris menyindir gabungan dua parti yang aneh ini. Satu nak negara Islam, satu nak negara sekular.

Soal hukum hudud tidak pernah disentuh oleh Parti Bintang dalam majlis bersama parti itu dengan Parti Kapal Terbang. Tetapi di kampung dalam setiap ceramah mereka tetap konsisten berkempen akan laksanakan hukum hudud apabila berjaya memerintah negara.

Sekali lagi Parti Bintang mendapat mandat di negeri yang majoriti penduduknya beragama Islam. Mereka berjaya mengeksploitasi isu hudud di kampung. Manakala sebuah negeri yang majoriti penduduk Cina dimenangi Parti Bintang berjaya mengalahkan parti Cina yang bergabung dengan Parti Keris.

Di peringkat parlimen pula, Parti Keris yang bergabung dengan pelbagai parti berbilang kaum gagal dapat majoriti dua pertiga. Kerajaan pusat semakin lemah. Maka perdana menteri yang ada meletakkan jawatan kerana rasa bersalah gagal mempertahankan kerajaan dengan majoriti dua pertiga.

Maka berhimpunlah para pemimpin Parti Keris memikirkan cara mana untuk menarik undi orang Melayu semula. Seorang ahli majlis tertinggi berhujah Parti Keris kalah kerana Parti Keris tolak hudud. Maka kita kena sokong hudud kerana itu kewajipan orang Islam menyokong hukum Allah itu.

Presiden baru Parti Keris mendengar segala hujah yang disampaikan anak buahnya. Maka rumusan dibuat supaya Parti Keris berbaik semula dengan Parti Bintang. Lagipun Parti Bintang asalnya serpihan dari Parti Keris juga.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...