Khalid Ibrahim yakin kalahkan Azmin, kata setiausaha politik


khalid_ibrahim

Jamilah Kamarudin, The Malaysian Insider

Calon timbalan presiden PKR Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin mampu menyaingi undi penyandang, Mohamed Azmin Ali dalam perebutan jawatan tersebut.

Menurut setiausaha politik Khalid, Azman Bidin, melalui anggaran undian terkini, perbezaan undi antara Khalid dengan Azmin dianggarkan kurang 1,000 undi.

“Situasi semasa ini memberikan kami kedudukan yang sangat positif.

“Jika pengundian semula dan kiraan yang masih berlangsung ketika ini dibuat secara telus, bebas dan berintegriti, PKR bakal memperoleh timbalan presiden baru untuk penggal kepimpinan yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Azman berkata, berdasarkan jumlah undi yang diperoleh kira-kira 10,800 undi, menteri besar Selangor itu mengekori rapat kedudukan Azmin yang setakat ini memperoleh undi sekitar 11,300.

Azman berkata, kiraan ini diperoleh selepas ditolak undian cabang yang dibatalkan dan ditangguhkan pengundian, dan mengambil kira keputusan yang diterima Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) di Selangor, Wilayah Persekutuan, dan Negeri Sembilan selain jumlah rasmi sehingga 9 Mei yang disiarkan dalam laman web PKR.

“Pencapaian semasa ini merupakan perkembangan yang memberangsangkan memandangkan keputusan rasmi pada 9 Mei sebelum ini, perbezaan undi antara Khalid dengan Azmin adalah sebanyak 3659 undi,” katanya.

Katanya, melalui mood dan trend pengundian di Wilayah Persekutuan dan cabang di Selangor yang keputusannya diterima oleh JPP, pihaknya menganggarkan keputusan undian kepada Khalid di cabang yang dibatalkan dan masih ditangguhkan akan melonjak naik.

“Anggaran ini berdasarkan cabang-cabang yang dibatalkan atau ditangguhkan ini dikenalpasti sebagai kubu kuat beliau,” katanya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...