‘PAS mahu hudud di Kelantan sahaja’


hadi-awang

Oleh kerana PAS terus memimpin di Kelantan, maka PAS memilih Kelantan sahaja

(Free Malaysia Today) – PAS mempertahankan keputusannya untuk terus memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan kerana parti itu berterusan memerintah negeri itu.

Menurut Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang,parti itu menyambut baik reaksi positif semua pihakyang menerima perjuangan mereka ini dan pada masayang sama, bersedia memberikan penjalasan secaraterbuka ataupun tertutup kepada mana-mana pihakyang masih meragui hukum tersebut.

“Marilah kita menjelas dan menyatakan Islam adalah rahmat kepada seluruh manusia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru semua umat Islam untuk menerima kewajiban melaksanakan syariat tanpa menuding jari dan memperlekehkan mana-mana pihak.

Tambah Abdul Hadi lagi, terdapat sesetengah pihak enggan memahami kesempurnaan Islam dan hukumnya itu yang tidak menghalang kemampuan akal dan membelakangi hak asasi manusia.

“Ada yang lebih bersimpati terhadap penjenayah, tanpa peduli terhadap mangsanya. Atau lebih melihat hak asasi binatang lebih daripada hak asasi manusia yang sebenarnya.

“Sebenarnya kita wajib mengambil hikmah dari para perunding kemerdekaan negara yang mewujudkan Perlembagaan yang memberi ruang adanya hak hukum syariat dan undang-undang jenayahnya, sehingga menolak dakwaan halangan perlembagaan terhadap wujudnya berbagai-bagai undang–undang dalam masyarakat majmuk,” katanya lagi.

Bagi mengutarakan kebimbangan orang bukan Islam terhadap pelaksanaan hukum tersebut, Abdul Hadi memetik ayat Surah Al-Maaidah ayat 42 yang bermaksud “Oleh itu kalau mereka datang kepadaMu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau Engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil,”

Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang  turut menegaskan hudud bukan bertujuan untuk menghukum, sebaliknya untuk memberikan pengajaran kepada masyarakat.

“Wajib difahami, bahawa undang-undang jenayah Islam lebih bersifat mendidik daripada menghukum, kerana adanya syarat-syarat yang sangat menyusahkan bagi menjatuhkan hukuman Qisas dan Hudud yang dinaskan dan lebih banyak ruang kepada hukuman Takzir yang lebih ringan dan dengan mendidik.

“Dalam masa yang sama hakim diminta mencari jalan untuk membebaskan, sama ada daripada kefahamannya sendiri atau bantuan para peguam, dengan meneliti segala keterangan saksi dan lain-lain,” katanya lagi.

Kerajaan Kelantan pada 2 April lalu mengambil keputusan untuk membawa usul persendirian ke parlimen bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II yang dilulus sejak 1993 dapat dilaksanakan.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...