PRK Kajang: Wan Azizah akhirnya buka mulut


i967.photobucket.com_albums_ae159_Malaysia-Today_Mug shots_wan_azizah

(KL Post) – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sekian lama ‘mengunci mulut’ berkenaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang akhirnya bersuara.

Beliau menolak dakwaan ramai pihak berkenaan kemungkinan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor dari Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Tan Sri Khalid sudah mengendalikan kerajaan negeri dan kita sudah tengok sebagai Menteri Besar Selangor… tidak ada cacat cela.. jadi kita teruskan. Kehadiran Anwar (di Selangor) pula, hanya nak membantu.. ” katanya menurut laporan laman blog Mykmu.net.

Bagaimanapun, dari mulut Anwar yang juga suami kepada Wan Azizah, ada kemungkinan ia akan dibincangkan tetapi biarlah ia dibincangkan selepas Pakatan Rakyat (PR) memenangi PRK Dun Kajang pada 23 Mac depan.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR sebelum ini pernah mengkritik cara pentadbiran Abdul Khalid yang disifatkan sebagai lemah kerana gagal menguruskan dana kewangan negeri dengan baik.

Kegagalan Abdul Khalid itu menyebabkan Selangor mempunyai lebihan kewangan yang banyak seperti yang dilaporkan dalam laporan Ketua Audit Negara.

Menurut Mykmu.net lagi, ketika diwawancara oleh Australia’s Newsline, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengatakan dia sedang berunding dengan Khalid dan berhasrat untuk menjadikan Selangor sebagai model, sebelum PR berjaya melangkah ke Putrajaya.

Seterusnya ketika ditemu bual oleh pihak media baru-baru ini, Anwar sekali membayangkan dia akan menerajui kepimpinan negeri dan akan berbincang dengan pimpinan pakatan rakyat bagi mendapatkan kerjasama.

“Kemungkinan itu ada. Kita kena bincang ikut proses pakatan” katanya.

Paling menarik, portal pro-pembangkang, Malaysiakini juga seolah-olah menyokong idea untuk ‘memecat’ Khalid itu apabila sering melaporkan artikel yang berkaitan dengannya.

Sidang redaksi portal tersebut turut melaporkan kajian, kononnya 576 warga Kajang (yang dianggap sebagai suara majoriti penduduk Kajang) turut bersetuju dengan cadangan dan harapan Anwar, untuk bergelar Menteri Besar.

Disebabkan spekulasi itu juga beberapa orang pimpinan Pas, tampil membuat kenyataan bagi membantah ‘pengambilalihan kuasa’ itu antaranya kepimpinan sayap Pemuda Pas Pusat dan Pemuda Pas Selangor yang menyifatkan PRK Kajang sebagai membazirkan wang rakyat.

Desas-desus mengatakan, Anwar dikatakan sudah pun mendapat sokongan DAP namun masih pening dengan penegasan Pas yang kononnya mahukan Khalid terus kekal dalam jawatan itu.

Paling menarik, ada yang mengatakan, sudah ada usaha yang dibuat untuk mempelawa Khalid menyertai Pas sekiranya PKR masih berhasrat untuk memecatnya, lapor Mynewshub.

 



Comments
Loading...