PAS setuju Anwar jadi ADUN, bukan MB


Tuan-Ibrahim-Tuan-Man

PKR harus berbincang dengan semua parti komponen PR yang lain sekiranya ingin menggantikan kerusi menteri besar

Ikhwan Zulkaflee, FMT

Tiada masalah bagi PAS untuk menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang lantaran kerusi tersebut merupakan kerusi PKR.

Namun, menurut Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, PKR harus berbincang dengan semua parti komponen Pakatan Rakyat (PR) yang lain sekiranya ingin menggantikan menteri besar popular Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Anwar.

“KIta melihat keputusan yang diambil oleh PKR ini merupakan hak mereka kerana itu memang kerusi PKR. Kita tiada masalah mereka meletakkan mana-mana calon pilihan mereka.

“Tapi sekiranya melibatkan perubahan jawatan menteri besar ia perlu dibincangkan dahulu dengan PAS dan DAP sebelum buat apa-apa keputusan,” katanya apabila dihubungi FMT hari ini.

Sambil menegaskan bahawa PKR tidak boleh membuat keputusan bersendirian dalam mentadbir Selangor, Tuan Ibrahim mengakui terkejut mengenai perkembangan terbaru yang berlaku di Selangor.

“Kita pun rasa terkejut dengan keputusan tersebut. Kita sedar ada beberapa masalah dalaman yang berlaku di Selangor seperti isu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan beberapa lagi, tapi tak sangka sampai melibatkan perubahan kerusi menteri besar,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui hubungan PAS dalam PR tidak terjejas dengan isu yang berbangkit.

“Kita yakin akan ada perbincangan selepas ini dalam persiapan mengahadapi pilihan raya kecil (PRK) Kajang nanti dan pimpinan PR akan membincangkan mengenai isu ini,” jelasnya.

READ MORE HERE

1. Kerusi MB Selangor adalah pilihan oleh PAS menerusi Presiden PAS. Mempertikaikan Tan Sri Khalid sebagai MB secara berterusan adalah bererti mempertikaikan kebijaksanaan Presiden PAS.

2. Tan Sri Khalid telah berjaya menguruskan kerajaan negeri dengan baik. Masalah yang berlaku hanyalah kerana ada pihak di kalangan PKR yang gagal mendapat manfaat peribadi menerusi Tan Sri Khalid yang sangat tegas dalam pengurusan kewangan terutamanya. Tidak ada kewajaran untuk menukar beliau sebagai MB.

3. Sekiranya benar perlu ditukar maka jawatan MB secara mudah boleh diserahkan kembali kepada PAS dengan pemilihan YB Iskandar sebagai MB baru

4. PRK Kajang diadakan untuk menukar MB Selangor oleh PKR. Tujuan PKR ialah untuk mengelakkan jawatan beralih tangan kepada PAS iaitu Iskandar Samad. Ini satu pengkhianatan terhadap rakah Tahaaluf Siyaasi. Ia merupakan tindakan sangat licik dalam berpolitik untuk kepentingan larti sendiri bukan kepentingan PR.

5. Dalam masa yang sama ia satu tempelak kepada Presiden PAS kerana Presiden PAS yang membuat keputusan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB. Maka tindakan PKR adalah satu penghinaan kepada Presiden.

6. Melibatkan diri dengan PRK Kajang semata-mata untuk memenangkan agenda Anwar menjadi MB menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim adalah satu pengkhianatan terhadap PAS. Tidak sewajarnya ahli PAS membiarkan ia berlaku.

YB Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

 



Comments
Loading...