S’gor tak ikut prosedur, aniaya GM dan SU PKNS


PKR-selangor

Tidak mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Othman dan Norita, sebaliknya terus mengarahkan mereka bertukar ke SUK.

Jamilah Kamarudin, FMT

Tindakan kerajaan Selangor menukar khidmat Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Othman Omar dan Setiausahanya Norita Mohd Sidek ke Pejabat SUK dianggap menganiaya penjawat awam.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, kerajaan negeri melanggar prosedur etika kod etika pekerja kerana tidak mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Othman dan Norita, sebaliknya terus mengarahkan mereka bertukar ke SUK.

Katanya, kedua-dua pegawai tertinggi PKNS itu hanya menjalankan tugas mereka dan tidak sepatutnya menjadi kambing hitam atas keputusan kerajaan negeri.

“Kalau tukar tugas maknanya dah jatuh hukum, ini penganiyaan.

“Ini bukan melibatkan masalah kewangan tapi disiplin.

“Sepatutnya inkuiri dan pendakwaan domestik dilakukan kemudian baru jatuh hukuman disiplin jika didapati ada kesalahan.

“Ikut prosedur penjawat awam tak boleh ditukar sementara siasatan dibuat.

“Sesiapa yang bercanggah dengan undang-undang kita tak boleh kompromi,” katanya kepada pemberita d iluar bangunan PKNS hari ini.

Beliau sebelum itu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Caves Amiruddin Shaari serta kira-kira 30 penyokong PKR Selangor menyerahkan nota sokongan terhadap Othman dan Norita.

Nota itu diserahkan kepada Pengurus Perhubungan Awam PKNS Ishak Hashim kira-kira 11.30 pagi tadi.

Abdullah Sani yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat menyarankan Norita dan Othman sebagai mangsa keadaan boleh membuat tindakan susulan ke mahkamah jika tidak berpuas hati dengan arahan kerajaan negeri.

“Prinsipnya jelas. Sesiapa yang melanggar dan menganiaya rakyat kita akan pertahankan walaupun bukan ahli parti,” tegasnya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...