Dari satu Bashir ke satu lagi Bashir, rasuah berterusan


Tan Sri Bashir Ahmad, Managing Director of MAHB 

Mungkin sudah tiba masanya Yang Mulia Raja mengungkai cerita ini kerana andai perkara ini saya bawa ke pihak atasan, saya yakin tiada tindakan yang akan diambil mengenangkan Nik Anis Nik Zakaria adalah antara ‘orang-orang’ yang sangat rapat dengan Tan Sri Bashir sendiri.

Kakitangan MAHB

Saya menulis kepada Yang Mulia kerana sebagai salah seorang dari ramai yang bekerja di bawah MAHB, saya tidak lagi boleh bertoleransi dengan sikap sesetengah individu di dalam MAHB yang memanipulasi proses pemberian tender bagi projek dalaman syarikat. Apa yang saya akan beritahu di bawah mungkin hanya satu daripada banyak lagi kes yang menimbulkan keraguan dalam pemberian tender dalam MAHB.

Majalah keluaran MAHB yang bertajuk Convergence adalah salah satu inisiatif untuk mempromosikan KLIA. Jadi ini adalah satu projek yang penting bagi MAHB. Projek ini diletakkan di bawah tanggungjawab Bahagian Komunikasi Korporat yang diketuai oleh Nik Anis Nik Zakaria dan agensi yang diberikan tender bagi mengeluarkan majalah terbabit (2010 – 2013) adalah AMG Holding International Sdn Bhd (AMG).

Nik Anis Nik Zakaria

Berkenaan AMG, ramai kakitangan MAHB, khususnya dari bahagian Komunikasi Korporat yang terpaksa berurusan dengan mereka dalam projek berkenaan, bersetuju bahawa prestasi kerja mereka adalah TIDAK mencapai tahap yang dikehendaki. Di sebabkan perkara yang sedemikian, juga berikutan kontrak dengan agensi terbabit akan tamat pada penghujung tahun ini, bahagian Komunikasi Korporat telah memanggil beberapa agensi lain bagi tujuan bidaan tender pada Julai 2013. Mereka diminta untuk menyediakan kertas kerja bagi projek berkenaan dan diberi masa selama sebulan untuk berbuat demikian.

Melalui satu proses pemilihan yang dijalankan berdasarkan kertas kerja yang dihantar oleh agensi-agensi yang mengambil bahagian, dua agensi (Agensi A dan Agensi B) telah disenarai pendekkan. Yang menarik adalah AMG tidak langsung tersenarai sebagai ‘top 3’. Walau bagaimanapun, Nik Anis telah kemudiannya melakukan apa yang saya kira sebagai keterlaluan dengan menarik balik kertas pemarkahan beliau bagi tujuan penilaian semula. Tindakan ini menyebabkan AMG disenaraikan semula dalam senarai agensi yang telah dipilih setelah pilihan kedua (Agensi B) disingkirkan atas alasan teknikal. Kami semua sebenarnya sedia maklum dengan hubungan baik antara Nik Anis dan juga pemilik AMG, namun saya cuba untuk memberinya the benefit of the doubt.

Untuk pengetahuan Yang Mulia, agensi A yang mendapat tempat pertama kali ini adalah agensi sama yang mendapat tempat pertama tiga tahun yang lalu dan mereka gagal mendapatkan tender tersebut atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

Nik Anis kemudiannya melalui bahagian Perolehan telah memanggil dua agensi terbabit untuk membentangkan kertas kerja mereka dihadapan jawatankuasa pemilihan yang terdiri daripada Exco MAHB pada 18 November 2013. Apa yang meragukan adalah surat tersebut hanya diemelkan pada hari Jumaat, 15 November 2013 pada jam 5.05 petang, memberikan kedua-dua agensi masa yang singkat untuk barangkali meneliti semula kertas cadangan mereka. Namun saya yakin bahawa AMG, melalui Nik Anis, telah terlebih dahulu diberitahu mengenai perkara ini.

Nik Anis Nik Zakaria bersama tuan punya syarikat AMG

Mengikut salinan surat jawapan yang di hantar oleh Agensi A, mereka meminta untuk diberikan tempoh tambahan kerana tidak langsung diberitahu bahawa agensi mereka adalah antara agensi yang disenarai pendekkan juga mereka mempersoalkan mengapa pembentangan ini dibuat secara tergesa-gesa.

Oleh yang demikian, pembentangan kertas kerja di hadapan jawatankuasa pemilihan hanya dihadiri oleh AMG. Apa yang membuatkan saya lebih yakin bahawa pemberian tender ini telah dikompromi adalah sewaktu proses tersebut berjalan, kakitangan lain yang terlibat secara langsung dengan penerbitan majalah ini tidak dipanggil untuk turut serta melainkan Nik Anis. Mereka sendiri tertanya-tanya mengapa Nik Anis tidak mahu mereka terlibat di dalam proses tersebut.

Nik Anis Nik Zakaria di dalam majallah Passion, keluaran AMG

Yang Mulia Raja,

Tindakan Nik Anis yang seperti pilih bulu sangat mendukacitakan, lebih-lebih lagi apabila hasil kerja yang ditunjukkan oleh Agensi A adalah jauh lebih baik daripada agensi sedia ada dan saya tidak nampak keperluan untuk terus berurusan dengan AMG. Saya juga sebenarnya tertanya-tanya adakah Exco MAHB yang terlibat dalam jawatankuasa pemilihan tersebut sedar tentang mengapa hanya satu agensi yang hadir bagi pembentangan tersebut.

Jadi, saya merasakan adalah tanggungjawab saya sebagai seorang kakitangan untuk mempersoalkan mengapa dalam organisasi besar seperti MAHB, perlakuan yang saya lihat menyalahi etika (sila lihat lampiran mengenai Kod Etika Perolehan) terus dilakukan secara terang-terangan dan ianya seperti mendapat restu orang atasan.

Walau perkara ini nampak kecil, tetapi ia mungkin hanya cebisan daripada banyak lagi kes-kes sepertinya yang mampu membiakkan virus korupsi di kalangan kakitangan MAHB.

Mungkin sudah tiba masanya Yang Mulia Raja mengungkai cerita ini kerana andai perkara ini saya bawa ke pihak atasan, saya yakin tiada tindakan yang akan diambil mengenangkan Nik Anis Nik Zakaria adalah antara ‘orang-orang’ yang sangat rapat dengan Tan Sri Bashir sendiri.

Sekian, Terima kasih.

 



Comments
Loading...