Isu Syiah: AJK PAS Pusat mengalukan tindakan terhadap Mat Sabu


http://i.imgur.com/iprRoSD.jpg 

(Astro Awani) – AJK PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Nor hari ini mengalu-alukan supaya tindakan dikenakan terhadap Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sekiranya benar beliau adalah seorang penganut fahaman Syiah.

“Saya mengalu-alukan tindakan JAKIM, PDRM dan lain-lain agensi terhadap ‘Mat Sabu’ sekiranya benar beliau adalah penganut Syiah.

“Syiah adalah ajaran yang diharamkan untuk dikembangkan di negara ini. Secara rasmi, ajaran di Malaysia adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan majoriti umat Islam di negara ini adalah penganut mazhab Syafie,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Bagaimanapun beliau menyifatkan langkah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi untuk ‘menuduh’ Mat Sabu sebagai Syiah adalah suatu langkah politik yang terdesak untuk memerangkap PAS.

“Disebut pula dalam Perhimpunan Agung UMNO, platform buat pemimpin UMNO melepaskan kemarahan terhadap musuh politik mereka. Ia jugalah pentas mereka menunjukkan jagoan mereka di hadapan ahli dan perwakilan mereka, seolah-olah merekalah wira umat yang layak disanjung sepanjang zaman,” kata Riduan.

Selain itu, beliau turut menyokong tindak balas Mat Sabu untuk menyaman Ahmad Zahid  baginya tuduhan seperti itu amat keterlaluan dan memalukan PAS.

Katanya tuduhan tersebut telah melukakan hati berjuta ahli serta penyokong PAS di seluruh negara.

“Jika niat beliau untuk menjatuhkan reputasi dan maruah PAS di hadapan umat Islam, beliau tersilap langkah dan salah percaturan. Mungkin juga tuduhan beliau bakal memakan diri beliau sendiri,” katanya lagi.

Menurut Riduan, sudah tiba masanya untuk Mat Sabu tampil membersihkan dirinya dari dilabel sebagai penganut serta membuktikan bahawa beliau adalah seorang Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpegang kepada mazhab Shafie.

“Mahkamah adalah penentunya dan selepas ini, tiada lagi tohmahan liar menuduh tanpa fakta dan bukti yang sahih berlegar di kalangan masyarakat,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau mempertahankan partinya yang disifatkannya sering menjadi sasaran fitnah dan tohmahan oleh parti-parti lawan, termasuk tindakan keras terhadap para pemimpinnya.

Beliau juga menegaskan bahawa PAS sentiasa berpaksikan pegangan mereka kepada ajaran Sunnah Wal Jamaah dan menjadikan mazhab Shafie sebagai sandaran mereka.

Menurutnya, perkara itu merupakan asas perjuangan Islam yang didokong oleh PAS serta menegakkan ajaran Islam berpandukan Al Quran dan Sunnah sebagai dasar perjuangan yang tidak pernah berubah.

“Justeru tidak ada yang pelik dalam perjuangan PAS. PAS tidak sesekali membenarkan mazhab Syiah menular dalam diri pendokongnya apatah lagi ia dianuti oleh pemimpin tertingginya.

“PAS memiliki barisan kepimpinan Majlis Syura Ulama yang memandu PAS berdasarkan hukum Islam seperti yang termaktub dalam Al Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qias serta melalui perlembagaan PAS. PAS juga memiliki Dewan Ulama sebagai sayap kanan yang bertanggungjawab menjaga PAS agar sentiasa berada dalam orbitnya,” tambahnya lagi.

Ahmad Zahid pada Sabtu lalu, meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil tindakan ke atas Mat Sabu yang didakwanya pengikut ajaran Syiah.

 


Comments
Loading...