DAP Kedah tolak sesi dialog bersama Zairil


(Sinar Harian) – Semua cawangan DAP di Kedah menolak penganjuran sesi dialog bersama Pengerusi Interimnya, Zairil Khir Johari yang dijadualkan Isnin ini.

Bendahari DAP Kedah, Law Theng Hooi berkata, penolakan dibuat kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak mengiktiraf lantikan jawatankuasa interim.

Sehubungan itu, semua cawangan sepakat menolak dialog itu dan tidak akan patuh kepada mana-mana arahan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) kerana belum diiktiraf ROS.

“Memang kita bertegas dari dulu lagi bahawa tidak akan mengiktiraf jawatankuasa interim DAP Kedah kerana ROS belum mengiktiraf pelantikannya.

“CEC tidak mempunyai hak dan kuasa untuk melantik Zairil sebagai Pengerusi Interim kerana kita masih mempunyai pengerusi yang sah,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Difahamkan, dialog akan berlangsung di Alor Setar pada 9 Disember dan Sungai Petani 10 Disember.

Beliau yang juga Ketua Cawangan DAP Taman Kristal, Mergong berkata, ahli tetap yang ingin hadir dialog itu tidak akan dihalang.

“Kami (DAP Kedah) tidak akan halang kalau ada ahli yang nak hadir dialog bersama Zairil. Tetapi semua cawangan DAP negeri ini sepakat tidak hadir,” katanya.

Menurutnya, sebagai sebuah parti yang mengamalkan demokrasi, DAP pusat seharusnya memberi penjelasan kepada jawatankuasa interim mengenai situasi yang sedang berlaku dalam DAP Kedah agar tidak menjadi lebih keruh.

Theng Hooi turut menyarankan jawatankuasa interim yang dilantik CEC dapat memberi laluan kepada jawatankuasa yang sah, berdasarkan pengiktirafan yang diberikan oleh ROS, 4 Disember lalu.

Pada masa sama, beliau menggesa dialog berkenaan tidak diteruskan demi keharmonian parti.

“ROS mengeluarkan surat pengiktirafan bahawa Lee Guan Aik adalah Pengerusi DAP Kedah yang sah dan CEC tidak mempunyai hak untuk melantik jawatankuasa interim bagi menggantikan Guan Aik berikutan lantikan CEC juga belum diiktiraf.

“Sekarang ini terpulang kepada DAP pusat dan ROS untuk menentukan sama ada dialog itu mendapat kebenaran. Kita ada undang-undang dan perlu patuh kepadanya. Kalau tidak dibenarkan ROS, maka satu tindakan undang-undang perlu diambil kepada mereka yang terbabit,” katanya.

Sebelum ini, Zairil berkata, akan mengadakan dialog bersama semua cawangan DAP Kedah bagi menyelesaikan masalah dalaman yang berlaku.

Menurutnya, ia tetap diteruskan meskipun ROS mengiktiraf Guan Aik sebagai Pengerusi DAP Kedah yang sah.

Zairil dilantik oleh CEC DAP bagi menggantikan Guan Aik, selepas DAP pusat menghantar satu surat kepada Guan Aik pada 10 Mei lalu.

 



Comments
Loading...