Dr Asri dan Ummi Hafilda setuju muzakarah Umno-PAS


http://upload.wikimedia.org/wikipedia/ms/7/7e/Dr_mohd_asri_zainul_abidin.jpg 

(FMT) – Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin (MAZA) menyatakan sokongan beliau keatas muzakarah di antara Umno dan PAS.

Namun, jelas beliau, kedua-dua parti politik itu tidak harus disatukan.

“Saya setuju, tetapi bukan asimilasi kedua-dua parti politik.

“Kedua-dua parti harus kekalkan identiti parti masing-masing tetapi berkerjasama untuk kebaikan agama Islam di Malaysia,” katanya sebelum beliau bergegas masuk ke Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi mengikuti sesi perdebatan ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini bukan kali pertama Dr MAZA menyuarakan sokongan beliau keatas muzakarah antara Umno dan PAS.

Di dalam blognya yang bertarikh Mei 20 tahun lalu, Dr MAZA berkata beliau menyokong hasrat ini sejak lama lagi.

“Berdialog, berbincang, berunding, cuba memahami antara satu sama lain adalah perlembagaan manusia bertamadun.

“Kedua parti besar itu mewakili rakyat kita yang sudah dan ingin bertamadun, maka adalah patut untuk mereka menzahirkan manifestasi ketamadunan itu dalam bentuk mampu berbincang apabila ada keperluan,” jelasnya

Sementara itu, adik kepada Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Ummi Hafilda Ali berkata sudah sampai masanya untuk kedua-dua parti politik terbesar Melayu dan Islam di negara ini untuk bermuzakarah untuk kebaikan agama Islam.

“Apa yang penting adalah perpaduan ummah di negara kita walaupun mungkin kedua-kedua parti ini berbeza pendapat.

“Namun, Umno dan PAS harus berbalik kepada asas untuk mengeratkan ukhwah diantara orang Islam di negara kita,” jelasnya kepada FMT apabila ditemui di luar Dewan Merdeka PWTC hari ini.

Ummi turut menegaskan bahawa Umno merupakan parti yang relevan dalam setiap keadaan dan merupakan tunjang perjuangan bangsa dan negara walaupun sering diserang oleh pembangkang dalam pelbagai isu. 

 



Comments
Loading...