DAP usaha realisasi “mimpi Pakatan”, gempur Malaysia Timur


Pakar sains politik dari Universiti Malaysia Sarawak, Dr Faisal Syam Hazis, berkata inisiatif tersebut juga mempunyai risiko kerana DAP dikhuatiri meneruskan politik naungan yang memastikan BN Sarawak terus berkuasa di kawasan pedalaman.

Sheridan Mahavera, TMI

Setelah hanya memenangi segelintir daripada kerusi yang disasarkannya di Sabah dan Sarawak, kini parti DAP  memulakan satu inisiatif baru untuk memenangi hati penduduk di pedalaman Malaysia Timur.

Tidak lagi dengan hanya berceramah dan mengutuk kepimpinan Barisan Naisonal (BN), DAP kini bertungkus-lumus membawa projek pembangunan di kampung-kampung terpencil yang terlepas pandang oleh kerajaan negeri BN.

Projek kecil ini, seperti sistem bekalan air berasaskan graviti dan penjana elektrik mikro hidro, bertujuan meningkatkan kualiti hidup kampung-kampung tersebut.

Inisiatif yang dinamakan Impian Sabah dan Impian Sarawak itu juga bertujuan memecah kekangan psikologi BN terhadap orang kampung di Sabah dan Sarawak.

Ia memberi peluang kepada DAP untuk memberi sentuhan peribadi kepada penduduk pedalaman bagi membuktikan parti itu atau parti pembangkang lain, bukan petualang seperti yang dimomok BN.    

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapaya, Edwin @ Jack Bosi, berkata dengan memberi kesan terhadap kehidupan orang kampung Sabah dan Sarawak, DAP mahu meyakinkan mereka yang ia parti yang mampu berkhidmat dan bukan sahaja pandai bercakap.

Bagaimanapun, seorang ahli akademik Sarawak berkata, inisiatif tersebut berisiko dan boleh makan diri sendiri kerana ia mirip pendekatan politik BN, iaitu politik naungan.

Di dalam permainan politik naungan, hanya parti yang paling berkuasa dan kaya akan muncul juara. 

Membina jaringan di masyarakat bandar dan luar bandar

Kedua-dia inisiatif tersebut diilhamkan oleh pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang selepas parti itu dan gagasan Pakatan Rakyat gagal mencapai sasaran mereka di dalam kawasan pendalaman pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Lim, yang sekarang merupakan Ketua Parlimen DAP, berkata PR harus melipat gandakan usaha untuk menembusi kawasan pedalaman di Malaysia Timur.

“Walaupun Sabah adalah antara negeri yang terkaya daripada segi sumber alamnya, ia juga mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia.

“Sehingga 2010, 43% daripada isi rumah di Sabah tidak mempunyai bekalan air mentah atau air terawat. Sebanyak 20% tidak ada bekalan elektrik,” katanya.

Dalam inisiatif tersebut, satu pasukan akan turun ke bawah untuk mengenal pasti kampung-kampung yang mempunyai masalah kritikal.

Penyelaras perhubungan luar bandar DAP, Tam Kar Lye, berkata kampung tersebut juga mesti terbuka terhadap pertolongan daripada DAP dan kemasukan orang luar yang akan melaksanakan projek itu.

“Kami mengenal pasti apa keperluan mereka yang kritikal seperti bekalan air atau elektrik. Kemudian sebuah kertas cadangan akan dihasilkan sebelum kita cari dana bagi projek tersebut.

“Dana dikutip daripada sumbangan awam dan penaja korporat,” kata Tam.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...