DAP mahu PR NS kenalpasti calon MB


Saya mengulangi pendirian DAP bahawa kita tidak menolak kuasa politik Melayu 

Zefry Dahalan, FMT

Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Loke Siew Fook mahu Pakatan Rakyat Negeri Sembilan memulakan langkah awal dan mengenalpasti siapakah bakal Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Bercakap dalam Konvensyen DAP Negeri Sembilan penggal ke-16 di Seremban, lewat petang semalam, Loke berkata pada PRU-13, Pakatan Rakyat telah berjaya menyakinkan majoriti pengundi di kawasan bandar seperti yang ditunjukkan dalam keputusan yang kita perolehi.

“Namun, kami menerima hakikat bahawa faktor ketakutan yang dibangkitkan oleh Umno terhadap masyarakat Melayu melalui isu perkauman yang dimainkan masih begitu berkesan di kawasan luar bandar sehingga PAS dan PKR sukar menembusi kerusi-kerusi yang ditandingi oleh Umno.

“Umpamanya, ada di kalangan masyarakat Melayu di Negeri Sembilan yang termakan dengan propaganda Umno kononya orang Melayu akan kehilangan kuasa politik sekiranya Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan dan pemimpin bukan Melayu DAP akan merampas kuasa Melayu termasuk saya akan menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya Pakatan Rakyat menang.

“Sebelum PRU-13 pun telah berkali-kali saya mengulangi pendirian DAP bahawa kita tidak menolak kuasa politik Melayu.

“Yang DAP dan Pakatan Rakyat ingin tolak ialah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang rakus kuasa dan rasuah. DAP akan tetap mendokong peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan bahawa jawatan Menteri Besar akan disandang orang seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Melayu yang beragama Islam. Pendirian DAP dalam hal ini tetap sama dan tidak berubah.

“Untuk menangkis tohmahan dan penipuan yang terus dilemparkan oleh Umno dan BN, Pakatan Rakyat perlu mengorak langkah dan strategi yang lebih berkesan untuk menyakinkan masyarakat Melayu bahawa masa depan seluruh rakyat Malaysia akan lebih baik dan terjamin di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat kerana dasar yang kita perjuangkan ialah untuk kesejahteraan rakyat dan bukannya untuk sebilangan kecil golongan yang terpilih.

“Justeru itu, saya menyokong penuh cadangan oleh Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang, supaya sebuah Majlis Strategik Pakatan Rakyat ditubuhkan segera untuk memulakan langkah untuk persiapan menghadapi PRU-14.

“Satu strategi yang sangat penting untuk Negeri Sembilan ialah Pakatan Rakyat perlu mengenalpasti, memutuskan dan menampilkan calon Menteri Besar kita sekurang-kurangnya dua tahun sebelum PRU-14,” kata Loke.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...