Anwar cadang gaji ADUN Selangor dipotong


(UM) –  Selepas dikritik pelbagai pihak berhubung kenaikan gaji dan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang dilihat terlalu tinggi, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencadangkan supaya Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memotong kenaikan tersebut.

Katanya, cadangan itu dibuat memandangkan kenaikan berkenaan telah diluluskan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pemotongan tersebut merupakan antara mekanisme terbaik yang boleh dilakukan setakat ini.

Bagaimanapun tegasnya, pemotongan itu hanya akan melibatkan ADUN-ADUN dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan diputuskan dalam mesyuarat parti minggu hadapan.

“Saya telah mencadangkan kepada Menteri Besar supaya dipotong RM1,000 atau 20 peratus dari jumlah kenaikan itu dan disalurkan kepada Tabung Pendidikan negeri.

“Melalui perbincangan awal ini, Abdul Khalid menunjukkan persetujuan, namun kita akan mengadakan perbincangan lanjut terhadap isu ini dalam menentukan mekanisme terbaik yang boleh digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Dialisis CAT Kerajaan Negeri di Pasar Awam Balik Pulau di sini hari ini.

Anwar dalam pada itu menambah, cadangan pemotongan berkenaan buat masa ini tidak melibatkan ADUN-ADUN lain dalam pakatan pembangkang iaitu Pas dan DAP.

“Kita mulakan dengan ADUN PKR dan selepas ini perbincangan lanjut akan diadakan bersama pimpinan Pas serta DAP,” jelasnya.

Rabu lalu, Sidang DUN Selangor meluluskan kenaikan gaji kesemua 56 ADUN di negeri itu berkuat kuasa 1 Januari depan dengan Timbalan Speaker DUN bakal menerima kenaikan tertinggi iaitu sebanyak 373.3 peratus.

Selain Anwar, Timbalan Presiden PKR yang juga ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali turut menyuarakan pandangan sama dan meminta supaya kenaikan itu dinilai semula.



Comments
Loading...