Bahas dan bahas lagi di Malaysia
Kerajaan Malaysia kekal lama dan kerajaan Kelantan dapat bertahan, kerana ada jasa. Perbahasan tidak mengapa, tetapi kemasukan hasutan dan fitnah amatlah memeritkan.
Rahman Shaari, Sinar Harian
Di negara kita, terlalu banyak perkara yang telah dan sedang dibahaskan. Kita yakin, banyak lagi topik yang menunggu giliran. Perbahasan-perbahasan itu ada yang amat berguna, tetapi ada juga yang gah untuk satu-satu masa, dan hilang apabila dirasakan tiada mileage lagi.
Tanpa membelek akhbar dan majalah lama pun kita dapat mengingati sejumlah perkara yang dibahaskan. Kita telah berbahas tentang baik dan buruknya kerjasama Pas dengan Umno. Isu itu tenggelam dan timbul. Kita berbahas tentang kalimah ALLAH.
Ada pihak mengatakan kalimah ALLAH untuk orang Islam sahaja, manakala pihak lain mengatakan kalimah itu bebas untuk agama lain.
Ada antara kita yang membawa idea bahawa polis zaman British tidak usah dianggap pejuang. Kata pihak ini, penyerang polis di Bukit Kepong ialah hero. Ini mengundang perbahasan. Seterusnya ada yang mengatakan Tanah Melayu tidak pernah dijajah.
Inggeris hanya datang berehat di sini. Ini juga mengundang perbahasan, kerana jika tanah air kita tidak pernah dijajah, mengapakah kita menyambut Hari Kemerdekaan?
Kita juga berbahas tentang PTPTN, sama ada akan diteruskan, atau dihentikan.
Ada cadangkan agar wang diberikan terus kepada pelajar, tanda kerajaan mengamalkan kebajikan. Hal ini pun dibahaskan.
Para pendidik kita berbahas tentang pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, sama ada bagus atau sebaliknya. Ada yang mengatakan pengajaran demikian akan menjadikan pelajar kurang patriotik, tetapi ada yang mengatakan hal itu tiada kaitan dengan patriotisme.
Nama bahasa kita pun dibahaskan: bahasa Melayu atau bahasa Malaysia? Ada yang berhujah mengatakan bahasa Melayu ialah bahasa yang tercatat dalam perlembagaan, manakala pihak yang satu lagi mengatakan bahasa Melayu untuk Tanah Melayu, bahasa Malaysia untuk negara Malaysia.
Kita asyik berbahas tentang perkara-perkara biasa, dan perkara-perkara itu dicari segi sensasinya. Kita tahu bahawa persahabatan Umno-Pas ialah sebaik-baik pilihan untuk kesejahteraan Malaysia, tetapi antara kita ada yang menimbulkan segi-segi lain yang sensitif. Konsep asabiyah misalnya, dimunculkan untuk membangkitkan kemarahan.
Jika kita bertolak daripada anggapan suci bahawa umat Islam bersaudara, Umno dan Pas sebenarnya bersaudara. Terlalu kerap orang membacakan surah yang menyatakan ‘Berpeganglah kamu pada tali ALLAH jangan kamu berpecah belah’. Itu dikemukakan oleh ahli-ahli agama.
Bagi orang politik, setelah mereka mengatakan ‘jangan kamu berpecah belah’, mereka jugalah melancarkan semangat berpecah belah melalui perbahasan songsang. Ada yang mengatakan pihak musuh politiknya kurang beragama, atau kurang Islamik, padahal mereka menyedari makna al-Quran surah al Hujurat ayat 11. Pihak menuduh mungkin lebih buruk daripada pihak dituduh.
Berkaitan bahasa Melayu dan bahasa Malaysia, itu ialah nomen clature. Jika kita tidak pernah mengubah daripada bahasa Melayu ke bahasa Malaysia, maka bahasa Melayulah yang betul. Jika perubahan telah dilakukan, maka tunjukkanlah dokumen perubahan itu. Ertinya, perbahasan tidak diperlukan, tunjukkan saja apa yang betul.
Perbahasan yang kita langsungkan selama ini, sebahagiannya merugikan masa dan tenaga. Teruk-teruk satu pihak menjelaskan bahawa Pas elok berbaik-baik dengan Umno, ada saja hasutan untuk menjarakkan kedua-dua parti tercinta itu.
READ MORE AT : http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/rahman-shaari/bahas-dan-bahas-lagi-di-malaysia-1.198039