Tentang Negara Islam


http://www.themalaysianinsider.com/assets/uploads/authors/uthaya_170x62.jpg 

(The Malaysian Insider) – Pemimpin agama Islam di negara ini nampaknya menganggap kedudukan mereka “lebih tinggi dalam agama, jadi mereka tidak boleh duduk sama taraf dengan Bukan Islam”.

Fakta: Islam adalah agama rasmi Persekutuan Malaysia tetapi agama-agama lain boleh diamalkan tanpa gangguan mana-mana pihak.

Fakta: Islam mengharamkan rasuah.

Fakta: Walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia sebagai sebuah “Negara Islam” pada 2001, Malaysia bukan sebuah “Negara Islam”.

Bagi bekas pengerusi Barisan Nasional (BN) dan bekas Perdana Menteri itu, seperti dilaporkan oleh Bernama (17 September 2002), pengiktirafan yang diberikan oleh “dunia Islam dan bukan Islam” sudah mencukupi untuk Malaysia dianggap sebagai “Negara Islam”.

Beliau juga dipetik sebagai berkata, “Alasan lain sebenarnya tidak perlu untuk membuktikan Malaysia ialah negara Islam. Kerajaan boleh menunjukkan bukti jelas bahawa segala ajaran Islam yang mampu dilaksanakan oleh pemerintahan di Malaysia telahpun dilaksanakan.”

Hampir sepuluh tahun kemudian, Mahathir dilaporkan berkata bahawa beliau tidak boleh dilabel sebagai “haram” kerana beliau telah mengisytiharkan Malaysia sebagai “Negara Islam” (Malaysiakini, 11 Ogos 2012).

Pengerusi DAP kebangsaan yang juga seorang peguam yang disegani, Karpal Singh menyifatkan pengisytiharan Malaysia sebagai “Negara Islam” oleh Mahathir pada 2001 sebenarnya tidak terikat dengan mana-mana undang-undang.

Tindakan Mahathir juga dilihat sebagai bercanggah dengan lima pengisytiharan Mahkamah Persekutuan pada 1998 bahawa Malaysia sebuah negara sekular. Malah, ketiga-tiga Perdana Menteri sebelum Mahathir juga mengakui secara terbuka bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular walaupun Islam diiktiraf agama rasmi Persekutuan.

Malah, sekiranya diteliti, Suruhanjaya Reid diberikan mandat menggubal Perlembagaan Persekutuan apabila negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 tetapi laporannya tidak menyebut Tanah Melayu (kini Malaysia) sebagai sebuah “Negara Islam”.

Hujah-hujah yang dikemukakan ini pasti sudah membuatkan telinga pihak tertentu berasap kerana beranggapan makalah ini bertujuan memperlekeh, mempersenda, mempertikai dan mempersoalkan agama Islam.

Apatah lagi apabila timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa “Tiada orang Islam yang mempersendakan agama-agama bukan Islam seperti Kristian, Hindu dan sebagainya. Tetapi yang berlaku di sini, bukan Islam telah memperlekehkan dan mempersendakan agama kita” (Bernama, 30 Julai 2013).

Read more at: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/uthaya-sankar/article/tentang-negara-islam 



Comments
Loading...