Mesir dan kejatuhan Morsi


Pelik memahami perkembangan di Mesir kerana revoulusi rakyat 25 Jan mahukan kuasa tentera dikawal tetapi perhimpunan terkini di Tahrir Square menjemput kuasa Tentera untuk menggulingkan Morsi. Apakah matlamat awal revolusi dikhianati dengan memberikan kuasa kepada tentera hanya setelah 2 tahun revolusi? Apakah kehendak rakyat hanya boleh disampaikan melalui tentera? Lebih penting ialah apakah makna demokrasi jika perlantikan seseorang boleh dibatalkan di jalanraya tanpa peti-peti undi?

Mujahid Yusof Rawa, TMI

Morsi Diguling

Semasa artikel ini ditulis Morsi iaitu Presiden Mesir pertama yang dilantik secara demokratik telahpun digulingkn oleh tentera. Ini berpandukan kepada kenyataan Tentera bahawa Morsi sudahpun berada dalam tahanan rumah manakala pemimpin Ikhwan yang lain juga turut ditahan. Di Medan Tahrir, penentang Morsi merayakan berita tersebut manakala perhimpunan pro-Morsi dan penyokong Ikhwan di Rabaa’ Adawiah masih terkejut dengan perkembangan ini. Namun respons penggulingan ini tidak akan berakhir begitu mudah malah Mesir dijangka akan berada dalam keadaan krisis yang panjang dan sekali lagi akan mendapat perhatian dunia.

Demokrasi Melampau

Adakah istilah ‘demokrasi melampau?’ Sebelum revolusi rakyat pada 25 Jan 2011 rakyat Mesir tidak pernah memahami erti demokrasi kerana sejak penggulingan Raja Farouk oleh Gamal Abdul Naser dan kemudian Anwar Saddat yang mati di bunuh, Hosni Mubarak meneruskan legasi penguasaan tentera yang membenam demokrasi di Mesir. Penguasaan tentera tidak hanya dalam bidang politik dan menentukan kepimpinan negara tetapi tentera menguasai hampir 40% agihan ekonomi Mesir. Penguasaan tentera hampir sukar untuk dihapuskan bagi membuka jalan kepada demokrasi untuk menentukan masadepan politik Mesir. Dua tahun setelah Mubarak dijatuhkan dengan kekuatan rakyat demokrasi seolah masih mencari wajahnya yang sebenar apabila Morsi menjadi mangsa demokrasi melampau. Gambaran penggulingan Morsi seolah-olah memberi isyarat bahawa rakyat boleh buang siapa sahaja Presiden   yang mereka rasa tidak layak walaupun Presiden Morsi dilantik secara demokratik dan terma perlantikannya hanya akan berakhir 3 tahun lagi. Para analisis menggambarkan kebimbangan mereka apakah jaminan Presiden akan datang tidak akan diperlakukan dengan cara demokrasi melampau ini? Adakah di atas nama demokrasi, Mesir akan menuju ke arah anarki? atau adakah kebangkitan rakyat dalam revolusi 25Jan yang mahukan kuasa tentera dikurangkan hanya akan mengukuhkan lagi cengkaman tentera? Berbagai persoalan yang memerlukan jawapan kepada masadepan peneraju Arab Spring di Mesir.

Ikhwan Gagal?

Salah satu faktor yang dikatakan menyebabkan kepimpinan Morsi dipertikaikan ialah tanggapan bahawa Ikhwan telah mendominasi politik Mesir sedangkan kebangkitan rakyat adalah terjemahan berbagai pihak. Tanggapan bahawa Morsi tidak mewakili kehendak rakyat dan hanya mewakili kelompoknya adalah asas yang menjadi kempen penentang Morsi. Perlu diingatkan bahawa Morsi memenangi Pilihanraya Presiden dengan meraih 52% sahaja sokongan rakyat. Golongan Liberal Sekular tiada pilihan calon mereka kerana Morsi yang mewakili parti Kebebasan dan Keadilan adalah cabang politik Ikhwan yang dilihat lebih tersusun dan mempunyai penyokong grassroot yang kuat. Kemenangan Morsi dilihat sebagai terjemahan kepada kekuatan Ikhwan yang wujud sekian lama (hampir 85 tahun) dan berjaya kekal dalam suasana politik yang tidak menyebelahinya sepanjang proses itu. Kegagalan Ikhwan mentadbir negara yang cuba digambarkan oleh musuh politiknya dari kalangan Liberal Sekular akan meninggalkan bekas yang buruk kepada Ikhwan malah ia adalah isyarat kepada potensi kegagalan mana-mana parti Islam yang mahukan kuasa politik di mana-mana negara lain. Ikhwan Muslimin dianggap sebagai paling kanan dan menjadi idola kepada hampir semua gerakan Islam dunia malah mempunyai cawangannya di hampir seluruh dunia Islam khususnya. Propaganda ini berjaya membunuh dua burung dengan satu batu atau serampang dua mata untuk meranapkan cita-cita politikal Islam yang menyertai proses demokrasi hari ini.

Masa depan Partisipasi Islamist

Istilah Islamist menggambarkan kelompok penyertaan gerakan Islam dalam gerakan politik dan sivil sebagai salah satu komitmen terhadap proses demokrasi. Ia berbeza dengan istilah teroris yang bergerak di luar kerangka demokrasi yang mengimani cara keganasan sebagai mencapai matlamat Islamnya. Ikhwan di Mesir selama ini menegaskan dirinya sebagai entiti yang meyakini cara aman untuk memenangkan cita-citanya, malangnya sebelum Revolusi 25 Jan, Ikhwan tiada banyak pilihan melainkan terpaksa berhadapan dengan tekanan yang kuat dari regim tentera. Walaupun tertindas begitu lama , namun ia mampu menyesuaikan diri dengan keadaan tanpa hilang pengaruh dan kekuatan prinsipnya. Setelah Revolusi Rakyat, Ikhwan muncul sebagai entiti yang paling berpengaruh dan tersusun berbanding dengan golongan lain. Pasti nya penyertaan dalam proses demokrasi post Revolusi memberikan Ikhwan kelebihan lantas memenangi Pilihanraya Presiden setahun yang lalu. Dari sudut prinsip demokrasi, Ikhwan telah memenangi pilihanraya melalui Parti Kebebasan Dan Keadilan secara demokratik namun kemenangannya terus diragui dari sudut keyakinan dan tindakan politiknya yang sering disalahtanggap.Malah kemenangan Ikhwan tempoh hari dianggap sebahgaian sebagai kebangkitan Islamic Fascism.  Kejatuhan Morsi pasti akan memberi kesan yang besar kepada persoalan partisipasi politikal Islam dalam proses demokrasi.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...