Rasis: Kali ini J.Solomon (NUBE) sedikit melampau


https://fbcdn-profile-a.akamaihd.net/hprofile-ak-ash3/c34.34.432.432/s160x160/1013964_209658259188466_929948088_n.jpg 

Solomon mendakwa kakitangan bernama Katherine Vimala a/p Aricasnin dari cawangan bank tersebut di Kulim yang dipecat sebagai satu-satunya kakitangan berbangsa India di wilayah utara itu. Kenyataan akhbar seperti ini amat tidak bertanggungjawab kerana beliau sebagai pejuang ahli dan kebenaran sewajarnya memeriksa fakta tersebut sebelum mengeluarkan kenyataan sebegini yang boleh mencetuskan pergeseran kaum sekiranya tidak dikawal.  

Shaharul Shafie

Saya terpanggil untuk menulis bagi menjawab artikel kenyataan akhbar berbahasa Inggeris yang dikeluarkan oleh Saudara Sandagran Solomon Joseph Pitchay atau lebih dikenali sebagai J.Solomon, Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) yang bertarikh 26 Jun 2013 di laman Malaysia-Today.com.

Artikel tersebut di dalam Bahasa Inggerisnya bertajuk ‘Bank Muamalat northern region’s only Indian employee dismissed for not attending training on a rest day’ atau dalam terjemahannya di dalam Bahasa Melayu adalah ‘ Satu-satunya pekerja berbangsa India di Bank Muamalat wilayah utara dipecat kerana tidak menghadiri kursus pada hari cuti beliau’.

Saya selaku pengguna dan bekas pegawai bank rasa terpanggil untuk berhujah fakta dengan saudara Solomon di atas dakwaan beliau mengenai pemecatan kakitangan berkenaan. Hujah dan nasihat saya di sini adalah bersifat peribadi berdasarkan pengamatan dan tidak mewakili mana-mana pihak termasuklah pihak Bank Muamalat Bhd.

Semua sedia maklum bahawa NUBE merupakan kesatuan sekerja yang ditubuhkan di bawah peruntukan utama Akta Kesatuan Sekerja 1959 untuk membela nasib dan kakitangan para kakitangan bawahan atau sokongan yang berkhidmat di bank-bank perdagangan. Sememangnya tidak dinafikan penubuhan NUBE pada tahun 1960 telah banyak membantu mempertingkatkan kedudukan kakitangan-kakitangan ini dan juga berjuang demi kelangsungan keadilan perkhidmatan perbankan di negara ini. Malah sejak negara dilanda pertentangan di peringkat politik nasional yang agak hebat, sepertimana dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Majlis Peguam Malaysia, NUBE juga dilihat turut sama terjebak secara tidak langsung apabila dilihat lebih mendampingi parti-parti di bawah Pakatan Rakyat (PR) di dalam perjuangan mereka.

Namun begitu, adalah tidak menjadi suatu kesalahan untuk mendampingi mana-mana parti politik untuk mendapat rangsangan perjuangan tidak kira parti itu adalah pemerintah atau sebaliknya. Kesatuan Pekerja-pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang pada dasarnya memperjuangkan nasib dan kebajikan kakitangan awam peringkat bawahan dan sokongan tidak dapat lari dari menyokong parti pemerintah persekutuan. Namun begitu, kehadiran yang aktif CUEPACS dalam sedekad ini di bawah Presidennya, Datuk Omar Osman nyata bukan sahaja menguntungkan kakitangan awam kumpulan bawahan. Malah, kakitangan awam kumpulan professional dan atasan wajar mengucapkan ribuan terima kasih di atas usaha perjuangan CUEPACS yang secara tidak langsungnya juga menguntungkan semua kumpulan dalam perkhidmatan awam. Selain dari keperluan momentum kerajaan pemerintah yang mahu meraih sokongan undi kakitangan awam kepada mereka, adalah tidak dinafikan peranan CUEPACS jugalah membantu pegawai-pegawai berjawatan dari Ketua Setiausaha Negara (KSN) sehinggalah juga Pengarah (pelbagai pangkat Jusa) turut mengecapi kenaikan gaji, pelbagai pelarasan pendapatan dan kebajikan pekerja.

Namun sebagai pemerhati luar, saya melihat perjuangan NUBE sejak dahulu lagi lebih banyak bertindak sebagai suatu kubu yang dibina hanya untuk ‘berperang’ dengan pihak atau kumpulan lain dalam industri perbankan. Saya tidak berkata bahawa saya mahu NUBE membiarkan hidung mereka dicucuk pihak pengurusan tetapi saya lebih gusar dengan kaedah serangan mereka pada pihak pengurusan daripada memilih kaedah perbincangan yang berterusan. Saya tegaskan bahawa tidak salah NUBE berpiket atau mendesak mana-mana rancangan bank berkaitan pekerja mereka dibatalkan tetapi dari pemerhatian saya kaedah yang dilakukan oleh NUBE seperti mahu menumbangkan sesebuah bank dan seringkali mengelak berbincang mahupun untuk memperolehi maklumat yang tepat mengenai sesuatu perkara yang menimpa pada ahlinya untuk mencari jalan tengah penyelesaian terbaik.

Berbalik kepada kenyataan akhbar Saudara J Solomon tersebut, beliau secara terang menuduh pihak pengurusan Bank Muamalat di wilayah utara mengamalkan diskriminasi perkauman. Solomon mendakwa kakitangan bernama Katherine Vimala a/p Aricasnin dari cawangan bank tersebut di Kulim yang dipecat sebagai satu-satunya kakitangan berbangsa India di wilayah utara itu. Kenyataan akhbar seperti ini amat tidak bertanggungjawab kerana beliau sebagai pejuang ahli dan kebenaran sewajarnya memeriksa fakta tersebut sebelum mengeluarkan kenyataan sebegini yang boleh mencetuskan pergeseran kaum sekiranya tidak dikawal.  

Kita sedia maklum para pembaca kenyataan akhbar berkenaan semestinya memilih untuk percaya habis dengan dakwaan Solomon dan buktinya anda boleh membaca sendiri komen-komen menyokong kenyataan pertuduhan ‘rasis’ Solomon di dalam portal-portal Malaysia Today dan Malaysia Chronicle serta di Page Facebook Nube sendiri.

Saya mengikuti perjuangan NUBE sejak sedekad lalu dan hanya kali ini saya jelaskan Solomon bertindak agak melampau untuk meraih simpati pada NUBE dengan mencampuri elemen berbaur politik dengan cuba membabitkan isu perkauman. Kita sedar bahawa permainan isu rasis tidak terkawal ini amat berpengaruh dan mampu menjadi peluru bagi pertikaian politik nasional. Memandangkan hubungan NUBE yang baik dengan parti-parti PR, saya amat memohon agar pemimpin-pemimpin PR berhati-hati agar tidak terbawa-bawa dengan sentimen sebegini kerana jika silap maklumat atau silap mempertahankan pihak yang mendakwa, padahnya nanti pada imej parti-parti PR itu.

Saya melakukan beberapa panggilan dan lawatan ketika saya berada di utara Semenanjung Malaysia hujung minggu lalu. Apa yang saya lihat dan dimaklumkan dengan maklumat sahih bahawa Katherine yang dipecat itu bukannya satu-satunya pekerja bukan Melayu di bank tersebut di wilayah utara. Bank Muamalat di utara dilaporkan mempunyai 4 kakitangan kaum India dan 5 kakitangan kaum Cina. Malah di cawangan Bank Muamalat di Sungai Petani,Kedah, penolong pengurusnya adalah seorang berbangsa India sementara di cawangan Lebuh Pantai di Pulau Pinang pula penolong pengurusnya berbangsa Cina. Saya yakin dengan jumlah cawangan di wilayah utara yang sedikit bagi sebuah bank yang bersaiz kecil ini, jumlah kiraan nisbah 9 kakitangan bukan Melayu itu adalah berpatutan, lebih-lebih lagi di sebuah bank pengamal perbankan Islam. Oleh itu, kenyataan membabi buta Solomon ini telah menunjukkan beliau sebagai pemimpin kesatuan sekerja yang gagal mendapatkan maklumat sebenar dan sikap sebegini amat berbahaya kepada keharmonian rakyat yang berbilang kaum jika tidak dikawal. Dengan kehebatan media sosial menghebahkan perkara ini, kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini boleh menggugat kesejahteraan dan amat menyedihkan jika faktanya tidak betul.

Dari apa yang dibicarakan oleh Solomon dalam kenyataan beliau, amat jelas bagi beliau hanya mendengar sebelah pihak dan saya yakin kesemua cerita yang diyakininya hanyalah yang diceritakan oleh Katherine. Di dalam kenyataan akhbarnya, Solomon mendakwa kakitangan India berkenaan dipecat kerana tidak hadir pada satu kursus. Kedengarannya di Bank Muamalat, kursus mengenai AMLA/CFT dan Shariah ini adalah wajib dihadiri setiap tahun dan ada khabaran mengatakan kakitangan dipecat ini tidak menghadirinya sejak tahun 2011. Untuk makluman, AMLA/CFT adalah kursus mengenai pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan pengganas yang diwajibkan dihadiri bagi memberi pengetahuan dan mengingatkan kakitangan bank-bank perdagangan agar tidak terjebak dengan situasi berkenaan. Saya juga ada mendengar khabaran bahawa Katherine yakin beliau tidak bersalah kerana sudah mendapat kelulusan pada 12 Mac 2013 untuk bercuti pada 18 Mac 2013 meskipun kursus tersebut diadakan pada 16 Mac 2013 (Sabtu). Dengar khabarnya di dalam borang cuti berkenaan, kakitangan perlu memberitahu sebab mengambil cuti tetapi ‘sebab’ yang dinyatakan Katherine itu dikatakan tidak mencerminkan kehadiran beliau dalam Piket Jelajah NUBE di Kota Bharu yang diadakan pada 16hb-18hb Mac 2013.

Walau apapun khabar-khabarnya, sekiranya Katherine merasakan dirinya benar, gunakan saluran undang-undang bagi memperjuangkan nasib dirinya. Mungkin juga ada sebab lain yang menyebabkan pengurusan Bank Muamalat yakin untuk memecat Katherine. Oleh itu, sebagai pemimpin, Solomon wajarlah duduk semeja dengan pengurusan bank bagi mendapatkan keterangan mereka.Sekiranya selepas penjelasan berkenaan, Solomon yakin kakitangan berkenaan masih di pihak yang benar, gunalah saluran undang-undang untuk membela beliau.  Adalah  agak ‘premature’ bagi Solomon membuat kenyataan yang mempertahankan kakitangan berkenaan tanpa menasihati kakitangan tersebut menuruti proses dan rujukan perundangan sekiranya dirinya benar.

Mungkin juga Solomon berasa sakit hati apabila kakitangan tersebut dipecat dengan mengandaikan pemecatan itu dikaitkan dengan ‘kemarahan’ pihak bank kerana menghadiri program anjuran NUBE tersebut tetapi Solomon perlu tahu setiap kakitangan mana-mana bank perdagangan sekalipun tertakluk kepada peraturan-peraturan dan manual kakitangan yang sendiri ditandatangi oleh kakitangan yang memilih untuk bekerja asalkan tidak menyalahi peruntukan undang-undang berkaitan sumber manusia. Saya bimbang kerana sikap ‘permusuhan’ yang sentiasa ditunjukkan oleh Solomon pada pihak pengurusan dalam segala bentuk perjuangannya telah menyebabkan beliau mengandaikan keadaan sedemikian.Solomon dinasihatkan agar banyak menyelesaikan masalah dengan duduk semeja dan mendapatkan maklumat di pihak pengurusan agar tindakan NUBE selanjutnya dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan adil.

Setiap yang berlaku pastinya mempunyai dua cerita yang berbeza. Bagi saya sebagai pengguna dan rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan, kita perlu bertindak bijak, cerdik fakta dan lebih bertanggungjawab sekiranya mahu mendakwa apa-apa unsur perkauman di dalam apa sahaja perjuangan.

Sebagai pemimpin kanan kesatuan sekerja bank itu sejak 13 tahun, Solomon disarankan perlu bersikap progresif dan membina untuk masa depan kakitangan sokongan bank. Di dalam era pendidikan tinggi serta penggunaan sistem maklumat dalam sistem perbankan hari ini, keperluan kepada kakitangan sokongan di bank-bank telah menurun semakin mendadak demi survival bank-bank ini menghadapi dilemma globalisasi kewangan.

Demi menguruskan peruntukan sumber manusia dengan penuh berhemah, tidak dinafikan bank-bank pada hari ini lebih menumpukan pengambilan pekerja baru yang mempunyai ijazah yang berkualiti dan ini pastinya memberi kesan kepada NUBE yang semakin hari kehilangan jumlah sokongan kakitangan tanpa ijazah. Bukan itu sahaja, untuk kakitangan bawahan senior walaupun tanpa ijazah, dengan produktiviti mereka, mereka juga dinaikkan pangkat menjadi pegawai. Ini secara langsung menyebabkan keahlian kakitangan tersebut dengan NUBE tergugur.

Oleh itu, sebagai pemimpin NUBE yang sudah lama berkhidmat, saya sebagai bekas warga bank yakin Solomon sudah menyedari hakikat tersebut dan sudah sampainya untuk beliau mentransformasikan kerangka perjuangan yang lebih menyeluruh di masa hadapan untuk memastikan NUBE terus relevan dalam konteks keperluan perjuangan sumber manusia hari ini.

_____________________

Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik, Teknologi Sains Maklumat dan program pembangunan organisasi. Beliau juga kini melanjutkan pengajian di peringkat PhD di sebuah universiti terkemuka tempatan. Beliau juga merupakan pemimpin NGO antarabangsa, Armed for the Quill (AFTQ) yang berpusat di Oslo, Norway. Beliau adalah Ketua AFTQ bagi Asia Tenggara dan Timor Leste. Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di beberapa laman web dan media cetak. Beliau boleh dihubungi di [email protected]

 



Comments
Loading...